1 April 2020

Kenyataan Media Ketua Biro Perhubungan Antarabangsa dan Komunikasi, Dr. Tee Ching Seng

Memanggil sidang Parlimen tergempar bukti DAP hanya tahu main politik

Ia amat mengecewakan apabila ada di antara pemimpin DAP yang masih cuba main politik semasa waktu krisis ini, dan menggesa Perdana Menteri harus memanggil sidang parlimen tergempar selama dua hari untuk meluluskan pakej rangsangan ekonomi. Tindakan mereka ini hanya akan menambah kekacauan untuk negara serta menyusahkan petugas barisan hadapan yang sedang berusaha mengekang penularan wabak Covid-19 di dalam negara.

Antara sebab-sebab yang diberikan DAP untuk mengadakan sidang Parlimen tergempar adalah untuk membahaskan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Nasional yang bernilai RM250 bilion, malah ada juga seseorang pemimpin DAP yang mendakwa kerajaan menyalahgunakan kuasanya kerana dana tersebut tidak dilulus oeh Parlimen.

Adakah DAP lupa bahawa pada 2 April 2019, bekas Menteri Kewangan Lim Guan Eng pernah membentangkan usul peruntukan tambahan sebanyak RM19.6 bilion untuk kegunaan 16 jabatan dan 3 agensi kerajaan tanpa dibahaskan di Parlimen? Lebih-lebih lagi, dana tersebut telah pun diagihkan pada tahun 2018, tetapi ia hanya dibahaskan di Parlimen pada tahun 2019.

Adakah DAP juga lupa bahawa pakej rangsangan ekonomi pertama yang bernilai RM20 bilion juga diumumkan oleh Perdana Menteri Interim Tun Dr Mahathir Mohamad walaupun ia tidak dibahaskan di Parlimen?

Permintaan DAP ini juga tidak munasabah kerana ia akan meningkatkan risiko jangkitan di kalangan ahli-ahli Parlimen jika sidang Dewan Rakyat dipanggil sekarang. Adakah DAP masih tidak mempelajari dari kejadian dahulu, di mana serang ahli parlimen DAP sendiri turut direkod positif untuk Covid-19 sehingga menyebabkan beberapa wakil rakyat DAP membuat ujian dan mengasingkan diri secara sukarela?   

Pada masa krisis ini di mana seluruh negara tertakluk kepada Perintah Kawalan Pergerakan bagi memecahkan rangkaian jangkitan Covid-19, DAP masih cuba bermain taktik politik murahan. Sebaliknya, pemimpin-pemimpin DAP ini sepatutnya fokus kepada peruntukan RM100,000 yang diluluskan oleh Perdana Menteri untuk semua wakil rakyat bagi tujuan menjaga kebajikan penduduk-penduduk di kawasan masing-masing.

-MCA online-