1 Ogos 2018

Kenyataan Media Naib Pengerusi Pemuda MCA Nicole Wong Siaw Ting

Gadai pengangkutan awam demi kereta nasional baharu - Dr Mahathir pentingkan agenda sendiri

Perdana Mentari Tun Dr Mahathir Mohammad harus komited kepada penambahbaikan infrastruktur pengangkutan awam dan bukannya mencadangkan penubuhan kereta nasional baharu yang hanya akan menjejaskan konsep liberalisasi industri automotif. 

Malah, Perdana Menteri juga mendakwa bahawa demi melindungi industri automotif tempatan, Malaysia harus menyekat kemasukan kereta import untuk menggalakkan lebih ramai rakyat Malaysia membeli kereta jenama tempatan. Ini jelas adalah satu langkah terkebelakang. 

Dalam mana-mana pasaran bebas, liberalisasi ekonomi harus diamalkan demi menambah daya saing industri tempatan. Jika kerajaan mengenakan sekatan ke atas kereta import, ia akan menghalang pembangunan, malah mengehadkan pilihan pengguna semasa membeli kereta. Ini tidak akan membantu meningkatkan kualiti kereta tempatan. Di samping itu, ia juga bercanggah dengan janji manifesto Pakatan Harapan untuk menambah baik infrastruktur dan liputan pengangkutan awam. Oleh itu, kerajaan tidak seharusnya menggadai pengangkutan awam semata-mata untuk agenda peribadi Perdana Menteri.

Menurut pelan pengangkutan Malaysia, keadaan pengangkuan awam yang kurang memuaskan adalah punca utama ramai di kalangan rakyat memilih untuk memandu, dan seterusnya memburukkan lagi kesesakan lalu lintas. Oleh itu, adalah amat penting untuk kerajaan menambah baik pengangkutan awam sesegera mungkin.

Jika Perdana Menteri tetap berdegil mahu menggadai kepentingan rakyat demi agendanya tersendiri, berapakah jumlah wang rakyat yang harus dibelanjakan untuk menubuhkan sebuah kereta nasional baharu, dan apakah jenis perlindungan yang akan dilaksanakan demi melindungi impian Tun Dr Mahathir itu?

Nicole Wong Siaw Ting
Naib Pengerusi Pemuda MCA

-MCA online-