2 Mac 2017

Kenyataan Media Ketua Pemuda MCA Johor Sdr Koo Choon Peng

Henti menuding jari kepada orang lain!

JOHOR BAHRU, 2 Mac – Lim Kit Siang perlu berhenti menuding jari kepada orang lain dan sebaiknya menasihati anak sendiri untuk bercuti seperti Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Johor, Datuk Abd Latif Bandi.

Menurut Ketua Pemuda Badan Perhubungan MCA Negeri Johor, Koo Choon Peng , Ahli Parlimen Gelang Patah itu perlu lebih prihatin tentang siasatan terhadap anaknya sendiri.

“Anaknya, Lim Guan Eng, sedang disiasat oleh SPRM tetapi dia sibuk mempersoalkan sama ada Menteri Besar Johor harus mengambil cuti seperti yang dibuat oleh Datuk Latif. Adakah dia telah lupa tentang anaknya sendiri?

“Beliau sepatutnya menasihati anaknya itu untuk mengikut jejak langkah Datuk Latif, lebih-lebih lagi kerana Guan Eng sendiri yang sedang disiasat oleh SPRM,” tegas beliau.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan balas kepada persoalan yang dibangkitkan oleh Kit Siang hari ini berhubung perlunya Menteri Besar Johor, Dato’ Mohamed Khaled Nordin turut bercuti ekoran kes penyelewengan hartanah dan perumahan di negeri itu.

“Beliau (Latif) telah mengambil keputusan yang baik untuk anak dan pegawainya. Ini contoh teladan seorang pemimpin dan bapa yang baik.

“Saya ingin tahu, bilakah Guan Eng pula akan bercuti untuk memberi tumpuan kepada siasatan kes beliau sendiri, dan tidakkah bapa beliau sendiri menasihati beliau untuk bercuti?,” soal Koo Choon Peng .

-MCA online-