18 Mei 2021

Kenyataan media Pengerusi Jawatankuasa Perhubungan MCA Negeri Selangor, Dato’ Ng Chok Sin

‘Rakyat dibelakangkan, duit diutamakan’ : Kerajaan Selangor minta rakyat tanggung kos vaksinasi

Menteri Besar Selangor, Dato’ Seri Amirudin Shari dilihat lebih mementingkan wang ringgit daripada kesihatan orang ramai apabila mengenakan bayaran ke atas vaksin yang telah ditempah oleh kerajaan Selangor dengan kos RM100 juta dan dijangka tiba untuk program vaksinasi pada penghujung bulan Mei ini.

Tergamak kerajaan Selangor mengenakan bayaran kepada mereka yang mendaftar untuk program vaksinasi apabila vaksin tersebut dibeli dengan wang pembayar cukai dan ketika rakyat negeri ini hidup dalam pelbagai kesusahan serta ketakutan akibat penularan pandemik Covid-19 dengan ribuan kes positif jangkitan sehari?

Kerajaan Selangor perlu menjelaskan sama ada pembelian vaksin berkenaan sudah berjaya, dan sama ada vaksin yang akan digunakan merupakan kuota daripada kerajaan pusat, atau memang dibeli kerajaan negeri melalui saluran sendiri.

Menurut portal rasmi kerajaan Selangor, vax.selangkah.my, ia akan memberikan keutamaan kepada majikan untuk mendaftarkan pekerja-pekerja dengan syarat majikan perlu membayar 50% kos vaksin ketika pendaftaran, manakala baki 50% lagi perlu dijelaskan dalam masa 14 hari sebelum penerimaan suntikan vaksin.

Amirudin dalam kenyataannya pada 18 Mac memberitahu, kerajaan negeri akan membelanjakan sebanyak RM100 juta untuk membeli vaksin Covid-19 dan Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) sedang meneliti permohonan tersebut. Vaksin dijangka dapat diperolehi pada penghujung Mei atau awal Jun.

Tetapi menurut Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, YB Khairy Jamaluddin, semua vaksin adalah dibeli dan diagihkan oleh kerajaan pusat dan setakat ini kementeriannya belum menerima permohonan rasmi untuk membeli vaksin daripada mana-mana negeri walaupun sebelum ini negeri Pahang, Johor, Sarawak dan Selangor pernah menyatakan minat untuk membelinya.

Jika kenyataan Khairy itu benar, maka ini bermakna kerajaan Selangor belum membuat permohonan untuk membeli vaksin sehingga kini, tambahan pula pembekalan vaksin juga amat terhad sekarang. Jadi dari manakah kerajaan negeri mendapatkan vaksin? Jika ia melalui saluran lain, bagaimana untuk memastikan ia adalah daripada sumber yang sah dan selamat?

Oleh itu, Amirudin perlu menjelaskan kepada rakyat butiran vaksin tersebut, termasuk sumbernya, adakah ia selamat untuk digunakan, sama ada kosnya ditanggung kerajaan negeri atau pusat, dan kenapa perlu rakyat dikenakan bayaran, serta berapa kos vaksinasi yang sebenarnya?

Sekiranya vaksin berkenaan adalah kuota daripada kerajaan pusat, kenapa pula kerajaan negeri menuntut bayaran daripada penerima vaksin? Dasar ‘mata duitan’ kerajaan Selangor ini hanya akan menyebabkan rakyat atau majikan yang menghadapi masalah kewangan menerima kesan selama-lamanya daripada program vaksinasi!

Selangor merupakan negeri paling teruk terjejas dengan Covid-19, tetapi malangnya kerajaan negeri ‘mati akal’ dan tidak bertindak cepat. Dapat vaksin tetapi minta duit daripada rakyat pula. Ini amat mendukacitakan.

-MCA online-