
MCA mengutuk sekeras-kerasnya tindakan rejim zionis yang memintas Global Sumud Flotilla (GSF) yang dalam perjalanan menghantar bantuan kemanusiaan ke Gaza serta menahan secara tidak sah beberapa sukarelawan termasuk warganegara Malaysia.
Tindakan ini juga menyalahi undang-undang antarabangsa dan menafikan hak serta kebebasan warga dunia yang mahu membantu penduduk Palestin yang kini dizalimi tanpa henti oleh rejim zionis. Bukan sahaja nyawa mereka diragut secara kejam, kediaman mereka dibedil dengan bom, tetapi mereka juga kini berdepan kesukaran hidup apabila bekalan ubat terhad serta mengalami kekurangan bekalan makanan sehingga ramai yang mati kebuluran.
Justeru, MCA akan terus bersolidariti bersama para sukarelawan dan seluruh rakyat Malaysia mendesak pembebasan segera mereka yang ditahan secara tidak sah dalam misi kemanusiaan ini. Adalah ditegaskan bahawa misi ini adalah misi kemanusiaan dan keamanan, semata-mata mahu membantu dan menyelamatkan nyawa manusia yang berhak hidup serta berhak menikmati kehidupan yang lebih baik.
Kami yakin kerajaan Malaysia di bawah kepimpinan YAB Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Menteri Luar Negeri, YB Dato' Seri Utama Haji Mohamad bin Haji Hasan serta pasukan keselamatan negara kita akan melakukan yang terbaik bagi membebaskan sukarelawan kita.
Ayuh semua, teruskan berdoa untuk sukarelawan seluruh dunia GSF yang terdiri daripada ratusan sukarelawan dari puluhan negara, termasuk kumpulan dari Malaysia, Sumud Nusantara.
Datuk Seri Ir. Dr. Wee Ka Siong
Presiden MCA
2 Oktober 2025