Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong hari ini menempelak menteri kewangan, Lim Guan Eng, susulan “balas dendam politiknya” dengan memotong geran kepada Kolej Universiti Tunku Abdul Rahman (TAR UC) dan Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR).

Wee juga berkata, Guan Eng tidak perlu iri hari terhadap pencapaian TAR UC yang ditubuhkan oleh MCA.

“Saya mahu beritahu Guan Eng di sini, jangan iri hati dengan pencapaian TAR UC yang ditubuhkan oleh MCA.

“Tidak perlu ugut MCA. MCA akan berdiri teguh berhubung isu TAR UC dan akan terus berjuang hingga akhir.

“TAR UC ditubuhkan oleh MCA dan tidak ada pihak ang boleh menafikan usaha dan sumbangan kita. TAR UC yang menikmati kebebasan akademik tanpa campur tangan dalam pengurusannya telah melatih lebih 200,000 orang graduan.

“Tiada sesiapa pun boleh mengubah sejarah atau menafikan pencapaiannya. Ini wilayah kita dan tiada sesiapa yang boleh merampas TAR UC daripada kita. Jangan langgar hak kami dan kami tidak akan langgar hak anda,” katanya dalam ucapan dasar presiden pada Persidangan Agung Tahunan MCA di Wisma MCA hari ini.

Wee turut mencabar Lim, yang merupakan setiausaha agung DAP, supaya menubuhkan Universiti Roket atau Universiti Harapan.

“Oleh sebab Lim Guan Eng menaruh sepenuh keyakinan pada pemimpin persatuan bekas pelajar, maka saya cadangkan beliau menubuhkan Universiti Roket atau Universiti Harapan serta menjemput persatuan alumni TAR UC mengurus institusi berkenaan.

“Jika beliau tegas mahu memisahkan politik daripada pendidikan, maka beliau boleh menjadikan institusi berkenaan sebuah universiti berasaskan komuniti dan gunakan kuasanya sebagai menteri kewangan untuk memberi geran tahunan sebanyak beberapa juta ringgit supaya yuran pelajarannya lebih rendah daripada TAR UC.

“Beliau boleh menyelam sambil minum air dengan satu langkah. Kita tidak takutkan persaingan selagi anggota masyarakat berpendapatan rendah mendapat pendidikan bermutu pada kos munasabah.

“Jangan bimbang Lim Guan Eng. MCA berfikiran terbuka, kami tidak akan menghalang anda menubuhkan universiti sendiri,” katanya.

Turut hadir ialah bekas presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai, dan pimpinan tertinggi parti itu serta perwakilan.

Ahli Parlimen Air Hitam itu terus menghuraikan sejarah TAR UC untuk “mencelikkan mata Lim Guan Eng” dengan berkata, pada 15 Jul 1968, menteri pelajaran ketika itu, Tan Sri Khir Johari, mengumumkan kelulusan yang membolehkan MCA menubuhkan Kolej Tunku Abdul Rahman.

Wee berkata, MCA berjaya mengumpul dana sebanyak RM20 juta bagi membangunkan institusi tersebut, yang membolehkan pelajar Cina mendapat pendidikan universiti untuk menjadi juruteknik dan profesional

Beliau berkata, pada 22 Ogos 1972, menteri pelajaran pada masa itu, Tun Hussein Onn mengemukakan Instrumen Kerajaan (IoG) di Parlimen dan berjanji membantu Kolej TAR dari segi kewangan pada asas 50:50.

“Tun Hussein juga mengumumkan bahawa lembaga gabenor TAR UC akan diberikan kerusi perwakilan dalam kerajaan. Melalui IoG itu, kerajaan mengiktiraf kedudukan lembaga gabenor Kolej TAR UC dan diploma yang dikeluarkannya dari segi undang-undang,” kata beliau.

Wee berkata, ketika Kolej TAR dinaikkan taraf kepada kolej universiti pada 2013, Kementerian Pengajian Tinggi mengadakan perbincangan dengan Kolej TAR dan juga MCA berdasarkan IoG yang diluluskan Parlimen pada 1972 dan memutuskan supaya sebuah Yayasan Pendidikan TAR yang tidak bermatlamatkan keuntungan diwujudkan untuk mengurus asetnya.

Memorandum Penubuhan yayasan itu katanya, jelas mencatatkan bahawa ia merupakan sebuah entiti tidak bermatlamatkan keuntungan dan semua lebihan yang diperolehi digunakan untuk membangunkan Kolej TAR.

Wee seterusnya berkata, berikutan kelulusan daripada Suruhanjaya Syarikat Malaysia dan Kementerian Kewangan bagi menubuhkan Yayasan Pendidikan Kolej TAR, pada 19 April 2013 Kementerian Pendidikan telah mengeluarkan surat rasmi membenarkan Kolej TAR dinaik taraf sebagai sebuah institusi persendirian tidak bermatlamatkan keuntungan.

“Ia seterusnya menyebut bahawa Kementerian Pendidikan akan terus menyediakan geran sepadan sehingga RM60 juta kepada Kolej TAR.

“Justeru tidaklah mengejutkan sekiranya pemimpin MCA berada dalam lembaga amanah dan lembaga gabenor Kolej TAR. Terikat dengan undang-undang dan peraturan, mereka tidak bebas bercakap sesuka hati.

“Lembaga gabenor memainkan peranan pengurusan dalam institusi persendirian. Perlu disebutkan di sini bahawa, oleh sebab Kementerian Pendidikan terus menyediakan dana kepada Kolej TAR pada 2013, maka 5 kerusi dalam lembaga gabenornya masih dikhaskan kepada wakil yang dilantik oleh menteri pendidikan dan kewangan” katanya dan menambah keadaan itu unik kepada Kolej TAR.

Wee bertanya sama ada Lim Guan Eng sedar tentang kedudukan unik Kolej TAR itu, sekali gus berharap menteri kewangan itu membuat kerja rumah, bukannya menyebarkan maklumat salah dan mengelirukan orang ramai.

Beliau mendakwa, Lim pada mulanya berkata, kerajaan hanya mampu memberi sebanyak RM5 juta kepada Kolej TAR kerana kekurangan dana.

“Tetapi beliau mengubah pendirian dengan berkata, beliau bersedia memperuntukkan RM30 juta sebagai dana pembangunan dengan syarat MCA memutuskan hubungan dengan Kolej TAR. Sikap tidak konsisten ini adalah ciri konsisten beliau,” kata Wee lagi.

Bekas menteri itu juga menggesa Lim menunaikan janjinya untuk memberi peruntukan kepada 3 institusi pengajian tinggi berasaskan komuniti lain, iaitu Kolej Universiti New Era, Kolej Universiti Southern dan Kolej Universiti Han Chiang.

“Ini bukan permainan ‘zero sum’. Peruntukan kepada Kolej TAR ditulis dalam undang-undang oleh kerajaan 50 tahun dulu, tetapi hari ini anda membuat janji baru kepada 3 kolej berasaskan komuniti. Ini 2 perkara berbeza.

“Lim Guan Eng, daripada terus berjanji kosong dan mempergunakan 3 kolej itu untuk meraih publisiti diri, berikan peruntukan itu kepada mereka. Kami tidak akan iri hati, malah kami gembira,” katanya.

Wee berkata, berbanding institusi pendidikan tinggi yang namanya disebut sebelum ini, yuran pelajaran Kolej TAR paling murah.

“Saya jamin standard akademik Kolej TAR juga lebih tinggi daripada UniKL, sebuah universiti yang ditubuhkan agensi kerajaan,” katanya.

Yuran pelajaran bagi kursus diploma di Kolej TAR, kata Wee, adalah dalam lingkungan RM15,800 ke RM18,200, sementara UniKL mengenakan yuran antara RM27,000 ke RM39,000.

Bagi kursus ijazah, yuran Kolej TAR adalah dari RM31,000 ke RM38,000, sedangkan UniKL mengenakan yuran sebanyak RM54,000 hingga RM65,000.

“Lim Guan Eng memberi amaran supaya Kolej TAR tidak menaikkan yuran, tetapi yuran pelajaran sebuah universiti persendirian milik agensi kerajaan lebih tinggi.

“Apakah ini contoh sikap yang membolehkan ‘pegawai membakar rumah, sedangkan orang biasa tidak dibenarkan memasang pelita?’. Di manakah keadilan?,” katanya.

-Free Malaysia Today-