Persidangan agung tahunan MCA hari ini meluluskan resolusi membubarkan Barisan Nasional (BN) dan membentuk gabungan baharu yang lebih berkesan.

Presiden MCA Datuk Seri Wee Ka Siong berkata resolusi itu diluluskan oleh perwakilan pusat pada 6.18 petang tadi dengan hanya seorang perwakilan membantah.

Persidangan agung berikrar dedikasi penuh kepada jawatankuasa pusat untuk memimpin MCA mendapatkan semula sokongan rakyat dan kembali ke arena politik dengan melaksanakan dasar semak dan imbang yang berkesan dan cermat bagi memastikan kerajaan cekap, telus dan bebas rasuah.

“Jawatankuasa pusat MCA kini diberi kuasa untuk memulakan proses membubarkan BN dan membentuk gabungan baharu,” kata Wee kepada pemberita pada sidang media malam tadi, selepas persidangan parti ditangguhkan.

Terdahulu terdapat spekulasi MCA, salah satu parti pengasas BN, akan meninggalkan gabungan itu.

Wee memberitahu perwakilan bahawa sekarang bukan masa untuk menuding jari.

“Kita ada semangat musyawarah, kerana Perikatan ditubuhkan oleh 3 parti – Umno, MCA dan MIC. Mengambil kira senario politik semasa, sejarah gabungan ini boleh dikesan kepada 3 parti yang menubuhkan Perikatan pada awal 1950-an.

“Kami dengar pandangan perwakilan. Ramai yang berusia bawah 40. Seorang demi seorang, mereka mengkaji situasi dan memberikan hujah untuk pertimbangan parti. Ada yang menyeru suatu rancangan masa depan dan ada yang merayu agar semua bertenang dan tidak emosi.

“Kami menganggap keputusan hari ini suatu konsensus yang sangat besar.”

Bincang langkah seterusnya

Wee berkata keseluruhan prosiding dirakam dan menggesa semua pihak untuk tidak terlalu cepat membuat kesimpulan.

“Tiada protes. Pemimpin belum jawab. Perbahasan sedang berjalan, tetapi sudah ada media melaporkan ada perwakilan membantah.

“Saya perlu jelaskan perkara ini untuk mengelakkan pertikaian. Orang yang membuat kenyataan itu tidak berada dalam dewan. Ada tempat dan masa untuk berbincang. Tak elok buat andaian.”

Ketika ditanya identiti orang yang membantah itu, Wee berkata dia tidak mahu menamakan orang itu.

“Saya tak berminat. Ini proses demokrasi. Semua orang boleh kata ‘ya’ atau ‘tidak’. Orang yang anda temubual itu diberi 7 minit untuk berucap.

“Jadi apa masalahnya? Mungkin media cipta masalah itu,” katanya.

Ditanya adakah terdapat tekanan untuk menyediakan resolusi yang berbunyi seperti itu, Wee menafikannya.

“Tekanan apa? Kami mahu dengar semua pandangan berbeza. Sama ada keluar atau kekal bersama BN.

“Beberapa negeri minta berfikir 2 kali. Kita perlu dengar suara ahli,” katanya.

Ditanya bagaimana MCA mahu meneruskan itu, memandangkan mereka hanya mempunyai 1 kerusi Parlimen, Wee berkata ia bukan soal berapa ramai wakil rakyat dalam gabungan itu.

“Ini mengenai konsesus. Persidangan agung tahunan memberikan kuasa kepada jawatankuasa pusat, mengikut perlembagaan parti.

“Kita serah kuasa kepada jawatankuasa pusat untuk mereka ambil langkah seterusnya.

“Kita akan bawa kepada pihak berkenaan. Dalam kes ini, majlis tertinggi BN.

“Kita tidak boleh buat sebelah pihak. Kita perlukan konsesus. Sebab itu jawatankuasa pusat diberi kuasa untuk memulakan proses ini. Kita perlu bincang dengan pihak-pihak lain,” katanya.

Ditanya adakah ini bermakna MCA belum memutuskan sama ada ia akan meninggalkan BN, dan mengapa resolusi menggunakan perkataan “bubar” dan bukannya “keluar”, Wee berkata perwakilan boleh meminta pindaan dibuat.

“Ramai perwakilan berpandangan langkah lebih baik ialah membubarkan BN. Ini bukan resolusi Wee Ka Siong.

“Siapa tulis resolusi itu tidak penting,” katanya.

Dtanya sama ada masyarakat Cina mahu BN dibubarkan, Wee berkata ia terserah kepada perwakilan untuk menentukannya.

Ditanya tentang parti-parti baharu yang akan dimasukkan dalam gabungan baharu, Wee cuma berkata: “membentuk gabungan baharu”.

“Saya tiada apa-apa lagi untuk ditambah,” katanya.

-Free Malaysia Today-