Perhimpunan Agung MCA Ke -65 yang berakhir sebentar tadi menyaksikan perwakilan sebulat suara memberi mandat kepada Jawatankuasa Pusat (CC) untuk memulakan proses pembubaran Barisan Nasional (BN) dan membentuk perikatan baharu.

Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong, berkata untuk itu, CC parti terbabit akan memulakan proses dengan mengemukakan cadangan berkaitan resolusi pembubaran berkenaan.

Beliau berkata, MCA berterima kasih di atas sokongan rakyat pelbagai kaum kepada parti dan menghargai semangat toleransi serta perkongsian kuasa yang wujud sejak penubuhan perikatan dan BN.

Katanya, MCA yakin kerjasama yang bersandarkan kepada perpaduan erat dan ikhlas menjadi asas kepada pembangunan negara.

"Namun selepas sekian lama memerintah, BN kini mengalami kecondongan kuasa yang amat ketara, manakala setiap parti komponen pula memerlukan penghayatan dan penilaian semula serta proses transformasi parti masing-masing.

"Justeru itu, demi kebangkitan semula, BN perlu dibubarkan dalam suasana persefahaman dan persetujuan bersama supaya dapat memberi ruang yang bebas dalam usaha transformasi dan pembinaan semula.

"Apabila ada kesesuaian serta mempunyai persamaan visi dan prinsip, maka perikatan politik boleh dibentuk semula," katanya pada sidang media di Wisma MCA, di sini.

Hadir sama Timbalannya , Datuk Dr Mah Hang Soong dan Setiausaha Agung, Datin Paduka Chew Mei Fun.

Mengulas lanjut mengenai keputusan itu, Ka Siong berkata, soal desakan untuk pembubaran BN bukannya ada kaitan dengan bilangan kerusi yang dimiliki sebaliknya ia adalah konsensus pembentukan perikatan itu.

"Ia akan dibawa ke pengetahuan Majlis Tertinggi UMNO dan kita juga akan mengadakan perbincangan lanjut dengan rakan parti lain dalam BN.

"Sekarang bukan masa untuk menuding jari kepada sesiapa dan MCA menghayati perkongsian selama ini dengan BN," katanya.

Menurut Ka Siong, MCA, MIC dan UMNO mempunyai semangat musyawarah dan senario politik hanya berbalik kepada tiga parti asal perikatan BN terbabit.

Katanya, daripada 27 perwakilan yang diberi peluang menyertai perbahasan, 12 mereka adalah golongan muda, di mana masing-masing menghuraikan keburukan, kebaikan mahu pun rasional di sebalik keputusan yang dicapai.

" Kita perlu buat percaturan untuk masa depan dan tak boleh mengikut emosi, justeru selepas mengambil kira pandangan semua pihak, resolusi ini serta resolusi lain berkaitan pendidikan, hal ehwal parti, politik mahupun kerajaan diluluskan sebulat suara oleh majoriti perwakilan.

"Apa yang saya ingin tekankan, ia bukan resolusi Wee Ka Siong, ini adalah keputusan yang dimahukan perwakilan dan kami tahu apa yang perlu dilakukan.

"Apapun, MCA akan terus berkongsi solidariti pembangkang dalam memberi pandangan mahu pun bantahan berkaitan isu yang memberi kesan kepada rakyat," katanya.

Perhimpunan Agung MCA kali ini dihadiri 1,637 perwakilan dari seluruh negara.

-Berita Harian-