MCA kesal apa saja perkara yang berkaitan dengan parti itu dijadikan sasaran untuk “membalas dendam politik” oleh kerajaan.

Presidennya, Datuk Seri Wee Ka Siong, berkata sebelum ini Kolej Universiti Tunku Abdul Rahman (TAR UC) menjadi mangsa dan terbaru, Koperasi Jayadiri Malaysia Berhad (KOJADI) turut menjadi sasaran apabila bantuan peruntukan RM50 juta yang dipersetujui kerajaan Barisan Nasional (BN) sebelum ini dipotong Pakatan Harapan (PH).

Katanya, jika kerajaan mendakwa sebaliknya, kenapa semua yang diperjuangkan oleh MCA dilihat salah pada pandangan mereka dan dijadikan sasaran.

“Jika MCA melakukan sesuatu atas nilai sejagat, apa salahnya? Kita hanya ingin membantu usahawan kecil dan sederhana masyarakat Cina, jadi apa masalahnya?

“Bukankah mereka (PH) kata ingin membina Malaysia, membela negara dengan prinsip adil dan saksama?

“Jadi, jangan cakap tidak serupa bikin, cakap lain buat lain,” katanya pada sidang media selepas majlis perasmian Perhimpunan Agung MCA 2018 di ibu negara, hari ini.

Hadir sama, Timbalan Presiden, Datuk Dr Mah Hang Soong dan Setiausaha Agung, Datin Paduka Chew Mei Fun.

Sementara itu, pada sidang media berkenaan, Ka Siong turut menegur seorang wartawan sebuah portal berita yang bertanyakan soalan mengenai kedudukan parti itu dalam BN serta resolusi Pemuda MCA yang mahu BN dibubarkan.

Ka Siong yang kelihatan kurang senang dengan soalan itu kemudiannya menjawab bahawa beliau tidak boleh memberi ramalan keputusan yang akan diambil perwakilan petang ini.

“Adakah anda salah seorang perwakilan? Adakah anda turut membincangkan mengenai kedudukan MCA, adakah anda turut menyertai perbahasan?

“Tidak, apa yang yang belum dipersetujui atau dijadikan resolusi adalah hanya draf semata-mata dan apa sahaja draf, perwakilan boleh melihatnya.

“Jadi, saya tidak mahu memberi jawapan yang pra matang, jawapan saya jelas iaitu tunggu sehingga perwakilan memutuskan resolusi akhir petang ini barulah kita umumkan kedudukan MCA,” katanya.

-Berita Harian-