3 April 2020

Kenyataan Media Ketua Pemuda MCA, Nicole Wong 

Kerajaan wajar membantu perusahaan muda dan “start up”

Pemuda MCA mengalu-alukan pengumuman bahawa kerajaan akan melancarkan program bantuan untuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS) pada minggu depan untuk membantu mereka mengharungi krisis ini.

Selain dari memperkenalkan insentif bebas cukai, kerajaan juga disaran memberi bantuan secara langsung kepada PKS melalui pinjaman bank dengan kadar faedah rendah ataupun kosong supaya mereka boleh mendapat bantuan kewangan yang secukupnya dengan cepat untuk menampung perbelanjaan mereka.

Ini kerana sejak pelaksanaan perintah kawalan pergerakan pada dua minggu lalu, ekonomi negara seolah-olah telah berhenti, malah beberapa syarikat sudah terpaksa gulung tikar.

Walaupun beberapa PKS mungkin mampu bertahan selama 2 minggu hingga 1 bulan, namun ini tidak mencukupi kerana mereka masih perlu membayar gaji, sewa, bil air dan elektrik, cukai dan lain-lain lagi walaupun mereka tidak dibenarkan beroperasi.

Selain itu, kebanyakan PKS adalah syarikat “startup”, dan PKS merangkumi 90% industri negara dan mewujudkan 70% peluang pekerjaan kepada rakyat Malaysia. Maka, ia tidak boleh dinafikan bahawa PKS adalah enjin yang memacu ekonomi negara.

Syarikat “startup” juga merupakan industri yang unik dan berinovasi, dan kerajaan wajar membantu mereka mengharungi krisis ini supaya mereka boleh menyumbang balik kepada ekonomi dan masa depan negara.

-MCA online-