Pemilihan Malaysia selaku Pengarah Eksekutif Komuniti Lada Antarabangsa (IPC) menggantikan Vietnam mampu memperkasakan industri lada negara selain meneroka pasaran baharu.

Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng, berkata pemilihan Malaysia itu membawa kebaikan kepada negara berikutan dasar berkaitan pengeluaran lada boleh dirancang selain ditambah baik.

Katanya, negara akan dapat mempromosikan industri lada negara dalam kalangan negara pengeluar seperti India dan Vietnam.

"Pelantikan Malaysia sebagai Pengarah Eksekutif IPC membolehkan perancangan dan kebaikan dalam menentukan dasar industri lada dilakukan, sekali gus membawa manfaat kepada negara.

"Malaysia juga akan dapat meneroka pasaran baharu dan dapat kukuhkan hubungan diplomasi dengan negara pengeluar lada," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Program Prihatin Rakyat Parlimen Tanjung Piai, di Pekan Nanas, di sini, hari ini. 

Semalam, Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi dalam kenyataan akhbar memaklumkan Malaysia bakal mengambil alih giliran Vietnam pada 5 Mei ini untuk menjadi Pengarah Eksekutif IPC yang mempunyai ibu pejabat dan berpusat di Jakarta, Indonesia.

Pegawai Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) Firna Azura Ekaputri Marzuki, dipilih mewakili Malaysia sebagai Pengarah Eksekutif IPC secara pinjaman bagi tempoh tiga tahun.

Sementara itu, mengulas mengenai Program Prihatin Rakyat, Jeck Seng berkata, pihaknya memberi sumbangan sebanyak 160 helai jubah kepada imam dan pembantu membabitkan 42 masjid dan 74 surau.

Katanya, sumbangan itu adalah aktiviti tahunan pihaknya dalam membantu penduduk di kawasannya.

"Selain itu, Parlimen Tanjung Piai juga akan memberikan bantuan tuisyen dalam talian secara percuma kepada semua pelajar Tingkatan Lima bermula Jun depan.

"Tuisyen secara dalam talian ini membabitkan semua sekolah di Parlimen Tanjung Piai dengan jumlah pelajar seramai 1,300 orang," katanya. 

-Berita Harian-