Ahli Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh tidak sepatutnya dilantik mempengerusikan jawatankuasa semakan semula operasi Lynas Malaysia.

Jurucakap Publisiti MCA, Datuk Seri Ti Lian Ker, berkata Fuziah secara jelas menentang operasi Lynas di negara ini sejak 10 tahun lalu, sekali gus menimbulkan persoalan bagaimana Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu mampu membuat semakan secara adil, neutral dan objektif.

Beliau berkata, Fuziah akan tertekan untuk mengekalkan maruah, akauntabiliti dan kepercayaan terhadapnya untuk menunaikan janji menutup operasi Lynas serta memastikan sisa industri itu dihantar ke Australia atau luar dari Malaysia kerana mendakwa ia toksik.

“Jika Fuziah tidak menunaikan janji berulang kali ini, beliau kan dilihat menipu atau mengelirukan masyarakat mengenai bahaya radioaktif dan toksik Lynas.

Timbulkan persoalan

“Disebabkan itu, pelantikannya mengetuai jawatankuasa itu menimbulkan persoalan kerana sebarang keputusan tidak memihak Lynas akan dipersoal dan dianggap berat sebelah.

“Jadi, Fuziah tidak sepatutnya menjadi pengerusi jawatankuasa itu supaya sebarang keputusan penutupan Lynas dilihat adil dan saksama,”katanya dalam kenyataan, semalam.

Pada 8 Julai lalu, portal berita Malaysiakini melaporkan Menteri Tenaga, Teknologi, Sains, Perubahan Iklim dan Alan Sekitar, Yeo Bee Yin berkata, Fuziah dan Ahli Parlimen Bentong, Wong Tack mengetuai jawatankuasa menyemak semula operasi kilang memproses nadir bumi itu.

Ketua Pegawai Eksekutif Lynas Corporation Ltd (Lynas), Amanda Lacaze, dalam maklum balas, berharap semakan semula berkenaan dilaksanakan dengan adil, mengikut kaedah saintifik yang betul dan profesional.

Kenyataan lebih lembut

Lian Ker berkata, kenyataan Fuziah terhadap Lynas pada Mei lalu yang lebih lembut berbanding ketika menjadi pembangkang, menimbulkan tanda tanya sama ada penentangannya terhadap projek di Kawasan Perindustrian Gebeng, Kuantan itu bersifat politik atau berlandaskan fakta.

Katanya, Pakatan Harapan (PH) juga perlu menyatakan pendirian terhadap Lynas, selain mempersoalkan sama ada penubuhan jawatankuasa berkenaan bagi membolehkan mereka membuat “pusingan U”bagi meneruskan operasi Lynas.

“Adakah Fuziah akan membuat kenyataan bertentangan dengan hasrat rakyat yang mahu Lynas ditutup, atau sebaiknya memandangkan beliau bukan lagi pembangkang.

“Sebagai kerajaan, sebarang keputusan membatalkan Lynas akan memperjudikan reputasi Malaysia yang akan dilihat sebagai kerajaan yang tidak patuh pada kontrak serta menyebabkan ratusan hilan pekerjaan demi keputusan politik,”katanya.

-Berita Harian-