Malaysia kekal dalam kelompok 25 negara teratas ekonomi global
Langkah perkenal semula sekolah aliran Inggeris perlu perbincangan menyeluruh  

Gendang perang PRU-14 bakal warnai Persidangan Tahunan MCA Ahad ini

Pada Jumaat    03-11-2017 15:47:00

Apabila 2,400 orang perwakilan MCA pusat berhimpun pada Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) ke-64 hujung minggu ini, hanya satu isu sahaja yang akan berada di minda setiap daripada mereka - pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

AGM ini amat penting oleh kerana ia akan menzahirkan perpaduan dan kesiapsiagaan anggota parti serta memacu jentera parti dalam menghadapi pilihan raya umum yang bakal tiba.

Meskipun langkah pemulihan parti semakin menampakkan kesan dan usaha besar-besaran dilaksanakan untuk meremajakan semula parti, MCA yang diketuai presidennya, Datuk Seri Liow Tiong Lai, masih berdepan tugas getir untuk membuktikan bahawa parti itu sekali lagi berupaya memenangi semula hati serta minda pengundi Cina.

Parti terbesar berasaskan kaum Cina ini mengalami dua kegagalan besar dalam pilihan raya umum masing-masing pada 2008 dan 2013, mengurangkan penguasaannya daripada kemenangan selesa 31 kerusi parlimen dan 77 kerusi dewan undangan negeri (DUN) dalam pilihan raya umum 2004 kepada hanya tujuh kerusi parlimen dan 11 DUN pada Mei 2013.

Bagaikan ia belum cukup serius, kekalahan itu pada masa sama turut membenamkan parti ke dalam krisis kepimpinan berpanjangan, sekali gus lebih memburukkan lagi keadaan.

Perbalahan dalaman dan tuding menuding antara puak, berdepan dengan penolakan oleh komuniti Cina dan kebencian yang dihangatkan oleh pembangkang bukan setakat mengeruhkan lagi keadaan dalam parti, sebaliknya turut memberi kesan kepada imej parti.

Sejurus selepas mengambil alih kepimpinan parti pada Disember 2013, Liow tanpa berlengah lagi, berusaha keras untuk menyatupadukan semula parti yang berpecah belah ekoran perbalahan dalaman selama bertahun-tahun.

Berikutan krisis dalaman yang kini terkawal, Liow dan pasukannya berupaya melakar hala tuju yang baharu dan jelas untuk merubah parti, merangkumi aspek politik, ekonomi, sosio ekonomi dan pendidikan.

Ia memberi tumpuan dan berusaha tanpa mengenal jemu untuk berhubung semula dengan komuniti Cina, mendekati dan menunaikan hasrat mereka, dan pada masa sama, menjadi suara membangkitkan isu yang berkaitan untuk perhatian kerajaan.

Tahun lepas, parti itu meminda sistem pengundian pemilihannya dengan memperluaskan hak mengundi kepada kira-kira 33,000 perwakilan bahagian untuk memilih kepimpinan pusat, satu keistimewaan yang sebelum ini hanya dinikmati perwakilan pusat.

Selain berusaha untuk membantu meningkatkan peluang perniagaan bagi komuniti Cina di dalam dan luar negara, parti itu terus bersungguh-sungguh memperjuangkan pendidikan Cina di negara ini.

Perjuangan dan ketekunan MCA ini membuahkan hasil dan mendapat perhatian, terutamanya oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Sebagai contoh, dalam acara perhimpunan patriotik kaum Cina pada September lepas yang dihadiri kira-kira 30,000 orang daripada kaum berkenaan, Najib mengakui sumbangan kaum Cina dalam pembinaan negara.

Najib turut berjanji kerajaan Barisan Nasional (BN) akan meluluskan lebih banyak sekolah Cina terutamanya di kawasan pertumbuhan baharu bagi memenuhi permintaan komuniti berkenaan.

Baru minggu lepas, kerajaan meluluskan pembinaan 10 lagi sekolah rendah jenis kebangsaan Cina di Johor dan Selangor.

Ketua Publisiti MCA Datuk Seri Ti Lian Ker berkata parti itu kini lebih padu berbanding sebelumnya dan keyakinan di kalangan anggota terhadap kepimpinan parti dan kepada parti itu sendiri secara keseluruhannya sangat tinggi.

"Kami akui kelemahan kami tetapi kami tidak akan menyerah kalah. Sejak empat tahun lepas, kami telah bekerja keras untuk merubah parti dan mendekati bukan hanya kaum Cina tetapi juga kaum lain.

Saya boleh katakan bahawa setakat ini kami melakukannya dengan baik dan respons kaum Cina terhadap kami kini juga sangat positif dan menyenangkan. Pada masa tertentu, kami tidak perlu membentangkan kad laporan kami untuk dilihat umum. Komitmen kami dan keputusannya adalah berterusan dan masyarakat boleh melihatnya," katanya kepada Bernama.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dijadual merasmikan AGM itu pada pagi Ahad ini.

Ini merupakan 'himpunan keluarga' MCA yang terakhir sebelum negara mengadakan pilihan raya umum ke-14 dan ucapan perdana menteri selain presiden MCA semestinya akan menarik sepenuh tumpuan oleh kerana kehebatannya bagaikan 'paluan gendang perang' bagi anggota parti untuk terus mara dalam usaha mendapatkan semula kepercayaan yang hilang daripada genggaman sebelum ini.

-Barisan Nasional-

Berita Berkatian

MCA optimistik menang banyak kerusi pada PRU14 - Liow

PM mahu MCA menang lebih banyak kerusi di PRU14

PRU14: Undi MCA langkah tepat - Liow

BN dan MCA sentiasa sehaluan demi Rakyat, taktik pembangkang memerangkap rakyat

PRU14: MCA sedia tebus kegagalan dua pilihan raya sebelum ini