11,606 permohonan guru duka lara diluluskan
Tingkat penguasaan bahasa Melayu di SJKC  

Malaysia dipilih lagi ahli majlis IMO

Pada Ahad    03-12-2017 10:46:00

Malaysia dipilih semula untuk menduduki kerusi Ahli Majlis Pertubuhan Maritim Antarabangsa (IMO) Kategori C untuk tempoh 2018-2019.

Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai, berkata pemilihan bagi penggal ketujuh berturut-turut itu diadakan bersempena Persidangan Agung IMO di Ibu Pejabat IMO, London pada Jumaat lalu.

"Malaysia berjaya meraih sebanyak 131 undi daripada kalangan 24 negara yang bertanding dalam kategori C," katanya dalam kenyataan hari ini.

Kategori C ialah bagi negara dari kawasan geografi utama yang mempunyai kepentingan bermakna dalam lautan dan pengangkutan kapal.

Beliau berkata kejayaan itu adalah pengiktirafan negara anggota IMO akan sumbangan dan kepentingan Malaysia di IMO dalam sektor maritim antarabangsa, dan ini memberi keyakinan kepada pelabur asing terhadap pentadbiran maritim negara sekali gus akan melabur dalam sektor perkapalan dan pelabuhan negara.

IMO adalah pertubuhan khusus yang ditubuhkan di bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan bertanggungjawab terhadap perkara berkaitan keselamatan kapal, keselamatan pelayaran dan pencegahan serta pengawalan pencemaran laut yang dihasilkan aktiviti perkapalan.

Liow berkata kejayaan itu juga hasil kerjasama dan sokongan daripada setiap agensi di bawah Kementerian Pengangkutan dan Kementerian Luar Negeri dalam memastikan Malaysia mengekalkan kedudukannya sebagai Ahli Majlis IMO.

Beliau yang mengetuai delegasi Malaysia dalam persidangan itu turut diiringi Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan, Datuk Seri Saripuddin Kassim berserta pegawai lain.

Sebagai ahli Majlis IMO, Liow berkata Malaysia menekankan kepentingan pembangunan sumber manusia dalam kalangan negara membangun bagi memastikan semua negara anggota IMO dapat melaksanakan obligasi mereka serta mengaplikasi konvensyen IMO yang diterima pakai.

Perhimpunan Agung IMO diadakan setiap dua tahun dan pemilihan Ahli Majlis IMO turut diadakan semasa perhimpunan itu.

- Bernama-

Berita Berkatian

Gerabak kelas perniagaan, WiFi percuma dalam tren ETS KTMB

"Kalau nak jumpa, saya 'on' je" - Liow Tiong Lai

Siasat dakwaan kekurangan buku KPP - Liow

Kabinet setuju penubuhan NTSB - Liow

AWAS diperhebat - Rakam 20 kesalahan baharu termasuk guna telefon bimbit