Presiden MCA Datuk Seri Wee Ka Siong mengingatkan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bahawa setiap parti komponen berhak bercakap mengenai nasib gabungan itu tanpa mengira kerusi yang dimiliki.

Semua parti komponen BN berhak menyuarakan pandangan bagi menentukan masa depan gabungan itu, katanya kepada pemberita di Parlimen hari ini.

“Ia bukan mengenai kerusi tetapi konsensus parti-parti komponen. Marilah kita sentiasa hayati semangat gabungan ini.

“Saya cuma menjalankan tugas menyampaikan keputusan dan cadangan para perwakilan,” tambahnya, merujuk kepada resolusi yang diluluskan persidangan agung tahunan MCA semalam.

Resolusi itu menyeru pembubaran BN bagi membuka laluan kepada pembentukan gabungan yang lebih berkesan.

Menjawab resolusi itu, Zahid menggesa MCA pertimbangkan kedudukannya sebelum mencadangkan idea membubarkan BN.

Beliau berkata MCA hanya mempunyai 1 kerusi Parlimen, iaitu sebuah kerusi majoriti Melayu, yang dimenangi Wee.

Wee bagaimanapun menggesa Zahid berhenti bercakap mengenai bilangan kerusi atau jumlah Ahli Parlimen kerana keputusan tidak dibuat berdasarkan jumlah wakil rakyat atau kaum.

“Kita bercakap mengenai membaharui BN secara keseluruhan.

“Untuk membaharui suatu struktur politik, semua parti komponen perlu boleh bersuara.”

Beliau berkata MCA akan menulis kepada setiausaha agung BN untuk menyampaikan cadangan daripada perwakilan.

Wee juga menyeru BN untuk mengadakan mesyuarat segera bagi membincangkan isu ini, dengan mengambil kira pandangan semua parti komponen.

-Free Malaysia Today-