Amalan ketuanan dan keangkuhan beberapa pemimpin Umno telah menggugat gabungan BN dan mengundang rasa tidak puas hati terhadap BN dan komponen MCA.

Naib Presiden MCA, Datuk Seri Ti Lian Ker mendedahkan, selama ini Umno sering membuat  keputusan sendiri dan memberi persepsi dan anggapan umum bahawa itu adalah keputusan BN keseluruhannya.

“Cadangan untuk bubarkan BN memang adalah syor yang dibuat oleh MCA. Umno mengatakan MCA tidak mempunyai hak, sememangnya keputusan mutlak tidak boleh dibuat tanpa persetujuan semua.  

“Keputusan yang dibuat Umno selalunya mengenepikan semangat ini, seperti tiada BN. Masalah Umno ialah sikap keangkuhan ketuanan yang terlalu menonjol, itulah yang membuatkan rakyat meluat dan tidak sokong BN.” katanya ketika ditemui media di Parlimen.

Lian Ker juga menegaskan, cadangan dalam AGM MCA ini tiada kena mengena dengan hubungan akrab Umno dan Pas.

“ Ini bukan sebab (Pas), masalah ini wujud sebelum Umno rapat dengan Pas pun. Hakikatnya ramai  pengundi Cina tidak senang dengan gelagat beberapa pemimpin Umno, menyebabkan kebanyakkan tidak sokong BN? Dulu bila kita menegur, Umno melatah dan ‘belasah’, sekarang mereka salahkan mantan PM dan parti MCA pula.

“Kita bukan nak bergaduh, Umno dan MCA ibarat abang dan adik. Sekarang BN bukan lagi kerajaan jadi tiba masanya kita membebaskan diri masing-masing untuk mencari jalan dan perjuangan mengikut naluri masing-masing. BN tidak boleh dijadikan platform untuk bertindak secara radikal. Selama ini MCA mempertahankan BN sebagai platform ‘moderate’.

“BN bukan lagi kerajaan. Kita sudah sampai tahap ‘micro manage’ sebab itu MCA cadangkan BN dibubarkan kerana kewujudan BN tidak relevan lagi. Kita masih lagi ada semangat setia kawan, masih lagi menghargai silaturrahim  dan amalkan musyawarah BN bukannya bertindak secara konfrantasi,” jelasnya.

Sehubungan itu, beliau menambah, BN tidak berfungsi sebagai platform membuat dasar kerajaan. BN gagal membuat kawalan retorik politik ahli komponen mahupun pemimpin.

“Sudah tiba masanya kita terpaksa membubarkan BN, tak boleh terus dibelenggu dengan bebanan retorik politik parti-parti komponen yang bercabang dengan semangat BN.

“Asas penubuhan BN atas kerjasama masyarakat majmuk, ini lambang BN. Apabila kita bubar BN maka Umno bebas buat pakatan dengan parti-parti lain, kena buat platform yang baharu.

“Sebab asas pembentukan BN atas tolak-ansur dan apabila cara pemimpin Umno tidak seragam dan tidak sehaluan dengan falsafah BN lagi, sampai masa untuk kita bubarkan.

“Komponen BN masing-masing akan mempunyai kebebasan untuk buat pakatan baharu dengan bersandarkan falsafah perjuangan yang mencerminkan perjuangan parti semasa,” katanya.

-Sinar Harian-