MCA berpendirian tidak ada salahnya bagi UMNO dan PAS mengadakan kerjasama politik bagi mengalahkan Pakatan Harapan (PH) termasuk dalam menghadapi Pilihan Raya Kecil (PRK) Semenyih Mac depan.

Memetik laporan FMT dan Malaysiakini, Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong berkata, terdapat perbezaan antara solidariti sesama parti pembangkang dengan gabungan melibatkan parti terbabit.

“Sebagai contoh, jika sesebuah parti mahu berjuang menentang rasuah, saya tidak kata kami mempunyai ideologi berbeza. Ini merupakan nilai bersama yang mesti dipertahankan oleh kita semua.

“Dulu pun, parti pembangkang pernah terima kerjasama dan kolaborasi. Saya tak nampak perbezaan apabila dulu PAS dan DAP bekerjasama rapat,” katanya ketika ditemui di majlis rumah terbuka Tahun Baru Cina di Wisma MCA hari ini.

Menurutnya lagi, UMNO dan PAS bekersama tanpa perlu menjadi sebuah parti tunggal, sama seperti sejarah kerjasama DAP dengan PAS sebelum ini.

“Pada 2008 dan 2013, parti-parti ini (PAS, DAP, PKR) ada persefahaman… Di kawasan DAP, anda lihat PAS letakkan calon?

“Jadi (kini) apabila dua parti (BN dan PAS) putuskan untuk hantar satu calon, ia sama. Apa salahnya?

“Jika saya mahu bertanding di satu kerusi, parti yang satu lagi tidak akan bertanding dalam pilihan raya itu bagi mengelakkan persaingan 3 penjuru,” katanya, dipetik dari laporan tersebut.

– SuaraTV