Kenyataan media Jurucakap MCA, Saw Yee Fung (23-03-2022)

Kajian pelaksanaan semula GST dialu-alukan, kerajaan perlu perbaiki mekanisme

Jurucakap MCA, Saw Yee Fung mengalu-alukan kenyataan kerajaan yang mahu mengkaji kesesuaian pelaksanaan semula Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) dan meminta Kementerian Kewangan mengambil langkah penyelarasan serta penambahbaikan berdasarkan pengalaman melaksanakan GST buat kali pertama dahulu, demi mendatangkan kebaikan optimum kepada rakyat dan negara.

Katanya, ini selari dengan pendirian MCA selama ini bahawa GST merupakan suatu sistem percukaian yang lebih efektif, saksama dan telus. Dewasa ini, 160 daripada 195 negara di dunia sedang melaksanakan GST atau sistem percukaian yang serupa. Tegasnya, pelaksanaan GST dapat memastikan cukai ditanggung secara saksama oleh pelbagai pihak dan ini penting demi mewujudkan sebuah masyarakat komersial berteraskan persaingan yang sihat.

“Namun, kerajaan sewajarnya mengambil iktibar daripada pelaksanaan GST buat kali pertama dahulu, terutamanya isu melunaskan tunggakan tuntutan cukai input bagi GST yang lambat sehingga mengakibatkan pihak peniaga menghadapi masalah kecairan tunai. Justeru semua ini perlu diteliti, diselaras serta diperbaiki.”

Sehubungan itu, beliau turut memberikan beberapa cadangan seperti berikut, sekiranya GST dilaksanakan semula:

1. Mengurangkan kadar GST kepada 3 peratus, sambil mengekalkan 0 peratus bagi barangan perlu sebagaimana dilakukan sebelum ini;

2. Mewujudkan mekanisme anti keuntungan durian runtuh, bagi mengelakkan pihak peniaga daripada mengaut untung berlebihan melalui harga tinggi dengan menjadikan GST sebagai alasan;

3. Membenarkan penggunaan sistem lama GST bagi mengurangkan gangguan dan kos di pihak peniaga; dan

4. Mekanisme pemulangan cukai hendaklah mudah dan cepat, malah boleh mempertimbangkan pendekatan “bayar dulu, semak kemudian”.

“Selain itu, kerajaan juga perlu mendidik rakyat tentang bagaimana ia menggunakan pungutan cukai melalui GST, untuk mengelakkan salah faham dan penolakan terhadap sistem ini. Kerajaan perlu memastikan agar rakyat memahami serta yakin bahawa kutipan berkenaan memang digunakan untuk pelbagai projek yang memberi manfaat kepada rakyat serta pembangunan ekonomi negara.”

-MCA online-