Haramkan perkahwinan bawah umur 18 demi memelihara hak asasi manusia dan perlindungan kanak-kanak – Pindaan undang-undang dan pendidikan awam wajar dilaksanakan serentak

Wanita MCA menggesa Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) untuk mempertimbangkan semula pindaan undang-undang bagi mengharamkan perkahwinan bawah umur 18 demi melindungi hak kanak-kanak khususnya perempuan. Ini kerana , sekiranya pindaan perundangan dapat dilaksanakan serentak dengan kempen kesedaran melaui pendidikan awam , pasti masyarakat akan lebih peka dan jaringan keselamatan yang lebih tuntas dapat dikuatkuasakan secara lebih efektif untuk manfaat masyarakat.

Kepentingan wanita, kanak-kanak dan golongan rentan sewajarnya diberikan keutamaan oleh KPWKM kerana isu perkahwinan bawah umur ini berkait langsung dengan pemeliharaan hak asasi manusia dan perlindungan kanak-kanak. Ia harus ditafsirkan dari aspek masa depan dan pembangunan kanak-kanak sendiri , bukanlah agama atau kaum . Ini juga adalah pendirian tegas Wanita MCA.

Justeru itu, kami amat berharap agar KPWKM dapat membuat penilaian semula berkenaan isu perkahwinan kanak-kanak ini dari lensa nilai kemanusiaan sejagat. Selain dari pendekatan ilmu, kesedaran awam, aspek kesihatan dan pengukuhan kekeluargaan serta sistem sokongan masyarakat , pindaan undang-undang boleh dilakukan serentak agar ia lebih berkesan, pantas dan tuntas. Lagipun, tiada konflik di sini.

Menteri KPWKM menjelaskan bahawa isu meningkatkan garis umur untuk perkahwinan adalah dalam bidang kuasa badan agama di setiap negeri. Akan tetapi, kewajipan melindungi hak dan kepentingan kanak-kanak adalah obligasi sosial kita bersama , bahkan, KPWKM adalah badan yang diamanahkan untuk memastikan hak kanak-kanak dan masa depan mereka sentiasa terjaga.

Sesungguhnya , selain Menteri Kabinet, sebagai seorang wanita dan ibu mahupun bapa, setiap kita mahukan anak-anak kita dapat membesar dengan selamat, sihat dan sejahtera , terdidik dan dapat hidup berdikari. Malahan umur di bawah 18 tahun adalah waktu keemasan anak-anak mendapatkan pendidikan dan perkembangan sahsiah dan jati diri.

Lagipun , mereka ini masih belum matang dan waras dalam soal memilih jodoh . Ini boleh dibuktikan dengan rekod kadar perceraian yang lebih tinggi di kalangan pasangan yang kahwin muda .

Secara tuntasnya, perlulah ditekankan bahawa perkahwinan bawah umur 18 ini wajib diharamkan sebagai suatu kewajipan sosial demi melindungi hak asasi manusia , tanpa mengira bangsa atau agama. Oleh itu , adalah tanggungjawab kita bersama untuk mempertahankan hak dan kepentingan kanak-kanak, apatah lagi merekalah yang bakal menjadi pemimpin negara yang akan menerajui nasib dan masa depan negara kelak.

Datuk Heng Seai Kie
Ketua Wanita MCA Kebangsaan
25 Mac 2022

-MCA Online