
Tun Tan Cheng Lock
Presiden MCA Pertama
27 Februari 1949 - Mac 1958
Tun Tan Cheng Lock dikenali sebagai pengasas MCA, dan presiden pertamanya. Beliau merupakan seorang cendekiawan, ahli perniagaan, ahli politik dan seorang yang berpatriotik yang telah membantu masyarakat Cina memperolehi kewarganegaraan di Malaya.
Beliau juga merupakan orang pertama yang mempunyai wawasan politik untuk menyokong dan menggalakkan perpaduan kaum; beliau telah bekerjasama dengan Tunku Abdul Rahman dan kaum-kaum lain untuk memperjuang kemerdekaan Malaya.
--------------------------------------------------------------------
Tun Tan Cheng Lock telah dilahirkan pada 5 April 1883 di Hereen Street, Melaka.
Beliau telah belajar di Sekolah Tinggi Melaka dan Institusi Raffles, Singapura, dimana beliau telah mengajar selama 6 tahun sehingga 1908. Kemudian, beliau telah pulang ke Melaka dan bekerja sebagai Penolong Pengurus di Ladang Getah Bukit Kajang. Pada 1909, beliau telah membuka syarikat getah sendiri yang bernama Ladang Getah Melaka Pindah, Ladang Getah United Malacca dan Ladang Ayer Molek.
Pada 1912, pencapaian beliau dalam bidang industri dan perniagaan telah diiktiraf apabila beliau dilantik sebagai Jaksa Pendamai oleh Raja England. Pada tahun sama, beliau juga dilantik sebagai ahli Majlis Melaka.
Pada 1915, beliau telah menghidupkan semula Persatuan Orang Cina Peranakan-British (SCBA), sebuah persatuan di Melaka yang bertujuan untuk melindungi kepentingan orang Cina Peranakan di Negeri-negeri Selat. Beliau telah menjadi pengerusinya sehingga 1935.
Pada 1923, beliau telah dilantik sebagai Ahli Tak Rasmi Majlis Perundangan Negeri-negeri Selat oleh kerajaan British. Pada masa ini, beliau telah mula menyuarakan pendapatnya bahawa Malaya patut diperintah sendiri, dan menggesa kerajaan untuk menggubal dasar-dasar yang mampu memupuk semangat Malaya dan kesedaran antara rakyat dengan tujuan menghapuskan sikap perkauman.
Pada 1932, beliau dilantik sebagai Exco Tak Rasmi Majlis Perundangan Negeri-negeri Selat, dan telah menghantar memorandum kepada Pejabat Kolonial British yang mengkritik sikap diskriminasi pihak British yang menghalang usaha-usaha masyarakat Cina untuk menetap di Malaya.
Apabila Malaya dijajah Jepun pada 1943, Cheng Lock telah melarikan diri ke India, dimana pada 4 September beliau telah menubuhkan Persatuan Cina Perantauan India (OCAI). Pada masa itu, beliau telah menghantar memorandum kepada Setiausaha Kolonial British yang menyuarakan hajat beliau untuk menubuhkan Persatuan Cina Malaya (MCA) serta memberi kewarganegaraan kepada mereka yang tidak dilahirkan di Malaya.
Apabila pihak colonial British kembali ke Malaya selepas Perang Dunia Kedua, mereka telah menubuhkan “Malayan Union” pada 1 April 1946 yang membolehkan ramai dari masyarakat Cina memperolehi kewarganageraan (konsep Jus Soli). Akan tetapi, masyarakat Melayu telah menentang penubuhan “Malayan Union” dan ia telah dibubarkan dan digantikan oleh Persekutuan Tanah Melayu pada 1948, dimana syarat-syarat kewarganegaraan diperketatkan lagi.
Pada 1948, Parti Komunis Cina telah memulakan perang gerila dan kerajaan British telah bertindak dengan menahan semua pemimpin-pemimpin politik yang dianggap bersayap kiri. Pada masa ini, Tun Tan Cheng Lock telah menjalankan dasar kerjasama dengan pihak British dan masyarakat Melayu.
Pada 27 Februari 1949, Cheng Lock bersama-sama dengan pemimpin-pemimpin Cina lain seperti Tun Leong Yew Koh dan Kolonel H.S. Lee telah menubuhkan MCA yang bertujuan untuk menyatu-padukan masyarakat Cina, bekerjasama dengan kerajaan menentang komunisme, dan berganding bahu dengan kaum-kaum lain demi berjuang untuk kemerdekaan Tanah Melayu daripada pihak British.
MCA telah mengadakan kempen di seluruh negara dan telah berjaya merekrut 200,000 ahli-ahli. Antara tugas-tugas MCA pada masa ini adalah untuk meyakinkan pihak British bahawa masyarakat Cina tidak memihak kepada Parti Komunis Malaya (PKM). Salah satu sumbangan MCA dalam usaha ini adalah untuk menempatkan semula masyarakat-masyarakat Cina kepada kampong-kampung baru yang lebih selamat dan jauh dari ancaman komunis.
Pada 1951, MCA telah distruktur semula daripada sebuah badan kebajikan kepada sebuah parti politik, dan pada 26 September, MCA telah menyokong idea Dato’ Onn Jaafar untuk menubuhkan Parti Kemerdekaan Malaya (IMP) yang akan menekankan kerjasama antara semua kaum sebagai tujuan utamanya. Akan tetapi, kerjasama ini tidak stabil kerana Dato’ Onn Jaafar tidak berkrompomi mengenai isu-isu kewarganegaraan.
Pada 1952, MCA telah bekerjasama dengan UMNO untuk bertanding di pilihanraya Majlis Perbandaran Kuala Lumpur, dimana pergabungan MCA-UMNO memenangi 9 dari kerusi yang ditanding. Pada tahun seterusnya, MCA telah merasmikan kerjasamanya dengan UMNO dan Parti Perikatan telah ditubuh dengan penyertaan MIC pada 1954.
Pada Pilihanraya Umum Tanah Melayu 1955, Parti Perikatan telah memenangi 51 daripada 52 kerusi yang ditandingi. Pada tahun sama, Cheng Lock telah memgambil bahagian dalam Rundingan Baling di antara kerajaan Persekutuan Tanah Melayu dengan Parti Komunis Malaya. Hajat beliau untuk menerima kewarganegaraan dicapai apabila UMNO menerima prinsipnya. Prinsip tersebut telah dimasukkan ke dalam memorandum oleh Parti Perikatan kepada Suruhanjaya Reid yang bertanggungjawab menggubal Perlembagaan Persekutuan.
Pada 1957, beliau telah dianugerahkan gelaran “Tun” dari DYMM Seri Baginda Yang Dipertuan Agong sebagai pengiktirafan atas sumbangannya kepada negara. Anugerah-anugerah lain yang diterima beliau termasuk ‘DPMJ’ dari Sultan Johor, serta ‘Commander of the British Empire (CBE) pada 1949 dan ‘The Knight Commander of the British Empire (KBE) pada 1952 dari Raja George VI yang membawa gelaran ‘Sir’
Tun Tan Cheng Lock telah meninggal dunia pada 13 Disember 1960. Beliau berumur 77 tahun.