5 Mei 2018

Kenyataan Akhbar Setiausaha Agung MCA Dato’ Seri Ong Ka Chuan

Video pendek menyebarkan mesej menghina - Politik kebencian mampu menghancurkan nilai-nilai masyarakat Malaysia

MCA kesal terhadap satu video pendek sedang tular di media sosial yang menyebarkan mesej menghina. Video tersebut menggambarkan keadaan politik di kalangan masyarakat Cina yang begitu menyedihkan sekarang.

Video tersebut menunjukkan beberapa pelakon mengadakan satu majlis agama untuk melaknat beberapa pemimpin Cina dan India dari Barisan Nasional. Ini bukan sahaja memalukan pemimpin tersebut tetapi juga memalukan amalan keugamaan itu sendiri. Kepercayaan dan agama masyarakat Cina telah dihina dan menonjolkan sikap benci penerbit video tersebut, yang jelas telah melupakan sifat asas kemanusiaan dan prinsip moral. 

Sepanjang 10 tahun yang lepas, kita melihat kemunculan trend dalam ekologi politik masyarakat Cina yang sangat merisaukan, terutamanya pendapat awam di alam siber. Perancangan rapi dan galakan oleh beberapa pemimpin politik telah menyebabkan politik kebencian disebarkan ke seluruh negara, daripada kekerasan bahasa sehingga keganasan fizikal, dan kini penyeksaan mental melalui upacara keagamaan pula.

Nilai asas demokrasi tertakluk kepada pembahasan secara rasional dan mengadakan pilihan raya untuk membolehkan rakyat memilih kerajaan mereka. Akan tetapi, segelintir orang telah tergamak memupuk politik kebencian di kalangan rakyat semata-mata untuk kepentingan politik sendiri.

Ia amat menyedihkan bahawa MCA telah menjadi mangsa politik kebencian. Di dalam duka ini,  MCA tetap bertanggungjawab menyeru kepada seluruh msyarakat Cina supaya berfikirlah dengan tenang dan rasional, bagaimana politik kebencian telah menelangkupkan hubungan sesama manusia serta konsep hitam putih, dan akhirnya menghancurkan nilai-nilai tradisi masyarakat Cina.

Kita boleh menilai bahawa mereka yang menggalakkan penyebaran politik kebencian biasanya tidak ada apa-apa pencapaian, dan hanya mahu mengalih perhatian daripada kegagalan dan kelemahan mereka dengan menghasut kebencian di kalangan masyarakat.

Oleh itu, saya menggesa masyarakat Cina untuk berpegang teguh kepada tradisi dan prinsip rasional, untuk mengundi berdasarkan nilai-nilai dan dasar-dasar, dan memberi sokongan kepada yang betul-betul ikhlas untuk berkhidmat, demi mewujudkan budaya politik yang sihat.  

Dato’ Seri Ong Ka Chuan
Setiausaha Agung MCA

-MCA online-