5 Mei 2018

Kenyataan Media Biro Perundangan MCA, Datuk Tay Puay Chuan

SPR merobohkan papan iklan MCA disebabkan garis panduan tidak jelas

Tindakan Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) yang tidak konsisten pada Pilihan Raya Umum ke-14 ini telah menyebabkan kekeliruan di kalangan calon-calon, dan ini telah menjejaskan imej profesional SPR dan menyebabkan BN dan MCA dikutuk dan disalahkan oleh rakyat jelata.

Sejak hari penamaan calon pada 28 April, SPR telah banyak kali menunjukkan sikap tidak konsistennya.

Berdasarkan garis panduan baharu SPR, calon-calon hanya dibenarkan memaparkan gambar ketua dan timbalan ketua parti masing-masing. Akan tetapi, SPR telah bertindak merobohkan papan iklan yang menggambarkan poster Presiden MCA Dato’ Sri Liow Tiong Lai. Tindakan SPR ini telah menimbulkan keraguan kami terhadap prosedurnya.  

Tambahan lagi, Akta Kesalahan Pilihan Raya menyatakan bahawa mana-mana parti dibenar mempamerkan logo parti masing-masing dengan syarat ia adalah sebuah parti politik yang berdaftar. Akan tetapi, pegawai-pegawai SPR telah menurunkan poster-poster yang ada logo MCA, dan ini telah menjejaskan kempen kami dan menyebabkan kami mengalami kerugian politik.

Di samping itu, sikap tidak professional SPR juga telah memberi peluang kepada pihak pembangkang untuk menggambarkan diri sebagai “mangsa” apabila poster dan kain rentang mereka dirobohkan, lalu menghasut kebencian terhadap BN dan MCA, dan membolehkan pembangkang menarik undi simpati. Hakikatnya, poster-poster MCA yang menggambarkan Liow berjabat tangan dengan Presiden China Xi Jinping, serta poster-poster yang menggambarkan Dato’ Sri Najib dan Jack Ma juga diturunkan pihak SPR.

Ia mesti dijelaskan bahawa poster-poster Liow dengan Xi Jinping adalah bertujuan mempamerkan pencapaian MCA berkaitan Inisiatif Jalur dan Jalan (OBOR) yang berpunca daripada hubungan rapat di antara MCA dengan Parti Komunis China (CPC). Oleh itu, MCA tidak faham mengapa poster-poster tersebut dirampas oleh SPR.

Demi mengelakkan kekeliruan lagi, MCA menggesa SPR mengeluarkan garis panduan yang jelas bagi semua pihak berkenaan untuk memastikan bahawa kempen dan proses pilihanraya boleh dijalankan dengan lancar.

Datuk Tay Puay Chuan
Biro Perundangan MCA

-MCA online-