Setiap calon wakil rakyat Barisan Nasional (BN) wajar mengemukakan manifesto di kawasannya sendiri dan tidak hanya bergantung kepada manifesto dikemukakan pucuk pimpinan parti.

Ketua Biro Perundangan Pemuda MCA Kebangsaan yang juga Ketua Biro Perundangan Jawatankuasa Perhubungan MCA Negeri Sembilan Ng Kian Nam berkata, usaha itu membuatkan rakyat lebih menghargai calon pemimpin sesebuah kawasan.

Jelasnya, manifesto disediakan BN pusat terbaik namun manifesto kawasan menjadi nilai tambah bagi memastikan golongan sasar tidak terpinggir.

“Manifesto BN dilancarkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada malam 7 April lalu yang menggariskan 364 inisiatif jelas menangani masalah sebenar rakyat terutama membabitkan golongan B40.

“Bagaimanapun, saya berpandangan calon wakil rakyat juga mungkin boleh umumkan manifesto kepada pengundi kawasan mereka sendiri selagi tidak bertentangan manifesto pucuk pimpinan parti,” katanya yang menegaskan MCA akan berkhidmat dengan dedikasi dan komitmen kepada semua rakyat jelata tanpa mengira agama, bangsa atau latar belakang.

Jelasnya, manifesto BN adalah akujanji yang praktikal, menyeluruh dan bukan bersifat populis semata-mata.

Menurut beliau, ia sekali gus menunjukkan BN membuat soal selidik mendalam serta berdampingan dengan rakyat bawahan untuk mengetahui apa keperluan sebenar mereka.

“Bagaimanapun, sebaik-baiknya, kita perlu berusaha tidak hanya mahu melaksanakan manifesto di peringkat nasional, tetapi juga manifesto khusus untuk keperluan di kawasan.

“Kena ingat, setiap kawasan ada masalah dan keunikan tersendiri, sebab itu pentingnya calon wakil rakyat parti memperhalusi keperluan khusus tempat diwakili menjadikannya manifesto kawasan,” katanya.

Menurut Ng, di Parlimen Rasah umpamanya, beliau memperkenalkan tema Bermula Dari Rasah dan ia antara usahanya sebagai anak jati Rasah melihat kawasan Parlimen Rasah membangun sebagai bandar hijau.

“Bermula Julai tahun lalu, sebagai Ketua Biro Perundangan Jawatankuasa Perhubungan MCA Negeri Sembilan, saya lancarkan program pertanian bandar.

“Antara siri aktiviti di bawah program ini termasuk mewujudkan setiap kampung, sekolah dan rumah ibadat ada identiti sejenis buah.

“Saya minta penduduk pilih buah apa digemari untuk ditanam di kawasan mereka dan setakat ini saya memberikan 2,000 anak pokok kedondong, longan ping pong, abiu dan nangka madu untuk ditanam di lebih 10 kampung, 20 sekolah dan lima rumah ibadat di dalam Parlimen Rasah,” katanya.

Mengulas mengenai pandangannya terhadap manifesto BN pusat, beliau tertarik dengan penambahan dua kategori baru BR1M, cadangan bank khas untuk memudahkan pinjaman perumahan mampu milik, pembangunan industri 4.0 dan pemerkasaan perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

“Saya nampak penerima terbesar kumpulan golongan isi rumah berpendapatan 40 peratus terendah (B40) yang tergolong sebagai miskin bandar walaupun memperoleh pendapatan isi rumah RM3,000.

“Kehidupan mereka berdepan beban ekonomi lebih berat jika dibandingkan rakyat kategori pendapatan 20 peratus Teratas (T20) dan 40 peratus Pertengahan (M40),” katanya yang menyertai MCA sejak 21 tahun lalu ketika berusia 18 tahun.

Menurut Ng, akujanji lain adalah BN menyediakan tiga juta peluang pekerjaan baru dan berpendapatan tinggi untuk rakyat Malaysia pelbagai kaum.

“Pekerjaan memang menjadi asas penting dalam kehidupan, tetapi ia tidak boleh diletakkan dalam satu pasaran ekonomi bebas.

“Jadi apa diusahakan kerajaan BN dari segi mikro termasuk menceburi bidang baru, seperti Industri 4.0, SME dan teknologi hijau.

“Bagi mencapai ke arah itu, kerajaan sentiasa mengikuti aras perkembangan globalisasi untuk mencipta bidang pekerjaan baru, bukannya peluang kerja semata-mata,” katanya.

-Harian Metro-