31 Ogos 2018

Kenyataan Media Ketua MCA Pahang Dato’ Hoh Khai Mun

Pelantikan Petron bakal mewujudkan ketidakadilan dalam kalangan pembekal minyak

Pelantikan Petron Malaysia sebagai salah satu pembekal minyak kepada kenderaan kerajaan bakal menjejaskan daya saing pasaran negara dan mengakibatkan kemunculan semula amalan kronisme dan nepotisme.

Pengumuman Kementerian Kewangan bahawa keputusan tersebut diambil untuk “mewujudkan persaingan sihat” adalah tidak munasabah. Ini kerana Petron didakwa ada kaitan dengan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, dan ketua-ketua jabatan kerajaan mungkin akan menghadapi tekanan untuk mengutamakan stesen-stesen minyak Petron sahaja. Oleh itu, alasan “persaingan sihat” langsung tidak masuk akal, dan bakal mewujudkan situasi yang tidak adil kepada pembekal minyak yang lain.

Ia dijangkakan bahawa pelantikan Petron akan menjejaskan kemampuan dua pembekal minyak rasmi kerajaan yang lain – iaitu Petronas dan Shell - untuk bersaing dengan adil. Majoriti jabatan-jabatan awam akan memilih untuk mengisi minyak di Petron sahaja. Ini memang hipokrit apabila kerajaan baharu bercakap mengenai “persaingan sihat” tetapi pula menawarkan kontrak kepada kroni. Ia dikhuatiri bahawa amalan tersebut akan merebak ke dalam dasar-dasar kerajaan yang lain. 

Oleh itu, Menteri Kewangan Lim Guan Eng digesa berhenti menggunakan alasan “persaingan sihat” untuk menutup amalan kronisme. Selain daripada status Petronas sebagai syarikat utama dalam negara yang menyalurkan hasil kepada kerajaan, pembekal-pembekal minyak yang lain juga tidak patut diketepikan dan harus dibenarkan bersaing dalam persekitaran yang adil dan terbuka.

Dato’ Hoh Khai Mun
Pengerusi Jawatankuasa Perhubungan Negeri MCA Pahang

-MCA online-