Ketua Wanita MCA Sabah Dr Pamela Yong menolak penjelasan Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik bahawa kenyataan beliau mahu menjadikan Sabah dan Sarawak “medan dakwah” telah disalah tafsir.

Bercakap kepada FMT hari ini, Yong berkata penjelasan Mszlee lebih mengecewakan kerana ia memperkecilkan kebijaksanaan rakyat.

“Siapakah yang tidak tahu perkataan ‘dakwah’ biasanya digunakan dalam konteks penyebaran agama, dan dipopularkan oleh bekas menteri pendidikan Datuk Seri Anwar Ibrahim pada pertengahan 1980-an dahulu?

“Lebih buruk lagi, Maszlee berkata, ‘dakwah” dalam Islam bererti melakukan kerja-kerja baik, yang juga boleh dilakukan oleh orang bukan-Islam.”

“Apakah sebenarnya maksud beliau? Bahawa orang bukan-Islam kini tidak membuat kerja-kerja baik, justeru sangat memerlukan pedoman sedemikian?

“Andaian begitu tidak selayaknya dibuat oleh seorang menteri pusat dan hanya berperanan menyemai benih sikap saling tidak mempercayai selain menyuburkan rasa mulia dalam satu kumpulan masyarakat terhadap yang lain,” katanya.

Maszlee sebelum ini menggunakan istilah “dakwah” ketika menggesa guru agama dari Semenanjung supaya terus kekal berkhidmat di Sabah dan Sarawak.

Beliau berkata, istilah tersebut perlu dilihat dalam konteks lebih luas, bukannya terhad kepada usaha pengislaman orang bukan Islam.

“Dakwah dalam Islam harus difahami sebagai usaha membawa manusia kepada kebaikan dan ini boleh dilakukan melalui pelbagai cara, termasuk sebagai pendidik atau guru.

Merujuk kepada isu kekurangan guru agama di Sabah dan Sarawak, menteri itu berkata, istilah yang digunakan dalam kenyataannya telah disalah tafsir sebagai usaha mengislamkan orang bukan-Islam di 2 negeri itu.

Yong berkata, Maszlee tampak sibuk dengan perkara remeh seperti menukar kasut dan stokin putih pelajar sekolah kepada warna hitam dan meminta hotel membenarkan kolam renang mereka digunakan pelajar sekolah untuk belajar berenang, sedangkan beliau sepatutnya memberi perhatian kepada “isu besar” dalam pendidikan.

Ini termasuklah pengagihan peruntukan sebanyak RM50 juta yang dijanjikan kepada sekolah Cina dan pengiktirafan segera Sijil Peperiksaan Bersepadu Sekolah Persendirian Cina (UEC).

Selain itu katanya, Maszlee sepatutnya merangka dasar yang berkesan bagi menjamin pelajar sekolah di Sabah dan Sarawak dapat menghadiri kelas dengan lebih mudah.

Beliau berkata, ini kerana ramai kanak-kanak pribumi di kawasan terpencil yang terpaksa berjalan kaki dan menyeberangi sungai selama beberapa jam untuk ke sekolah.

“Pendidikan adalah jalan keluar daripada kemiskinan. Maszlee perlu lebih prihatin terhadap usaha membina lebih banyak sekolah atau aling tidak asrama untuk pelajar luar bandar bagi meningkatkan akses pendidikan, selain kelas tuisyen lepas sekolah bagi memperkukuh proses pembelajaran mereka.

“Menteri pendidikan perlu berhenti menyalahgunakan kuasa beliau dalam usahanya menjadikan sekolah di Sabah dan Sarawak sebagai pusat “pembasuhan otak” dan mengeksploitasi kanak-kanak luar bandar untuk dijadikan sasaran mudah beliau.

“Saya juga mengalu-alukan respons Timbalan Menteri Pendidikan, Teoh Nie Ching, dalam isu ini. Sikap diamnya sangat mendukacitakan,” katanya.

-Free Malaysia Today-