26 April 2021

Kenyataan Media Timbalan Setiausaha Agung MCA merangkap Ketua Wanita MCA Sabah, Dr. Pamela Yong

Rakyat mahu bantuan cepat, Ahli Parlimen PH kata tunggu lagi seminggu dua

Ahli Parlimen Tawau, YB Datuk Christina Liew dari Pakatan Harapan ini seolah-olah tidak tahu bagaimana hendak menjadi seorang YB. Beliau yang juga bekas Timbalan Ketua Menteri Sabah itu dilihat hidup senang-lenang di luar kawasan Tawau dan langsung tidak peka dengan kehendak dan penderitaan pengundi sendiri di mana Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) telah dilanjutkan sehingga 8 Mei depan.

Kecewa dengan pelanjutan tersebut, beberapa individu, termasuk aktivis Borneo Komrad dan orang kampung Taman Muhibbah Raya, telah mengadakan demonstrasi lalu ditahan polis.

Sambil merungut mereka yang ditahan tidak berhubung dengan pegawainya terlebih dahulu, Liew bagaimanapun lega ‘mereka ada peguam’. Apa maksudnya? Adakah Liew mahu menghina rakyat? Bersikap angkuh dengan pengundi sendiri?

Inilah sikap Liew yang membiarkan penduduk kampung menyelesaikan masalah sendiri, tanpa sebarang rasa bersalah atau bertanggungjawab. Tidak pulang ke kawasan, tidak turun ke padang. Tiada rasa prihatin, tiada rasa simpati. Apa gunanya Liew bergelar wakil rakyat? Sibuk melawat tandas di Taman Prince Philip semasa menjadi Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah sebelum ini dan masih sibuk dengan isu tersebut pada masa kini walaupun ianya bukanlah kawasan beliau. Tapi acuh tak acuh dalam membantu rakyat dalam kawasan sendiri, seperti pepatah, “kera di hutan disusukan, anak di rumah mati kelaparan.” Apa gunanya mengembalikan kegemilangan zaman dahulu tetapi tidak peka dan prihatin terhadap rakyat yang sedang sengsara ketika ini. Sibuk dengan kawasan orang lain, tetapi kawasan sendiri terabai dan langsung tidak dipedulikan!

Liew sekadar berkata, beliau sudah meminta pegawainya menjalankan siasatan berhubung demonstrasi tersebut dan kini dalam proses mempersiapkan 2,000 bakul makanan bagi kawasan parlimennya. Itupun hanya boleh diedarkan dalam masa ‘seminggu dua lagi’.

Tindakan Christina Liew yang juga Pengerusi PKR Sabah ini amat tidak wajar dan tidak masuk akal, tambahan pula masyarakat di sana memerlukan bantuan dengan segera.

Itulah gunanya Pusat Khidmat Ahli Parlimen, jika Ahli Parlimennya berada di luar kawasan, pusat khidmat tetap dapat membantu masyarakat. Melainkan Ahli Parlimen seperti Christina Liew menahan bantuan daripada disalurkan selagi beliau tidak berada dalam kawasan, bertujuan meraih publisiti untuk diri sendiri?

-MCA online-