Berhubung dengan kesilapan dalam logo Himpunan Kepimpinan Teguh Terengganu 2025 (TMT) anjuran PAS Terengganu, di mana bintang pada Jalur Gemilang hanya mempunyai 11 bucu, kami menggesa kerajaan dan semua pihak untuk mengambil pendekatan yang sama sebagaimana terhadap akhbar Sin Chew Daily, demi menunjukkan prinsip keadilan, kesaksamaan dan menolak amalan dwi-standard.

Sebelum ini, disebabkan kesilapan ilustrasi Jalur Gemilang dalam Sin Chew, ketua pengarang dan timbalan ketua pengarangnya bukan sahaja disoal siasat oleh polis, malah digantung tugas. Namun, dalam laporan analisis keputusan SPM yang dikeluarkan oleh Kementerian Pendidikan, ilustrasi Jalur Gemilang yang dijana oleh AI juga menunjukkan kesilapan serius, tetapi pegawai Lembaga Peperiksaan yang bertanggungjawab hanya dipindahkan tanpa sebarang tindakan lanjut, sekali gus menimbulkan persoalan berkenaan amalan dwi-standard. Kini, dengan kesilapan yang sama berlaku dalam acara anjuran PAS, kerajaan tidak boleh terus bersikap selektif.

MCA memandang serius segala kecuaian dan kelalaian berkenaan dengan lambang kebesaran negara. Walaupun menggunakan AI, namun unsur penyeliaan harus dipertingkatkan lagi.

MCA juga sangat kesal bahawa tindakan yang keras terhadap Sin Chew atas kecuaian ini tidak dijadikan pengajaran kepada sesetengah pihak seperti Kementerian Pendidikan dan Parti PAS.

Walau bagaimanapun, MCA tidak mengharapkan layanan keras terhadap Sin Chew termasuk reman dan lokap dikenakan kepada mana-mana kakitangan Kementerian Pendidikan dan juga pemimpin PAS. Tindakan tatatertib harus setimpal dengan kecuaian.

Jika sifat kesilapan itu adalah satu bentuk ketidakpatuhan atau penghinaan terhadap Jalur Gemilang, maka standard hukuman mesti sama dan konsisten, bukan bersifat dwi-standard atau selektif. Kesalahan yang sama mesti diberi layanan yang sama. Tidak boleh apabila kesalahan dilakukan oleh pihak media dihukum berat, tetapi apabila melibatkan pegawai kerajaan atau parti politik, ia hanya dianggap perkara kecil.

Perlu diiingatkan, dalam insiden yang melibatkan Sin Chew, Ketua Pemuda PAS, Afnan Hamimi pernah mendesak hukuman berat terhadap akhbar itu, dengan mendakwa bahawa “kesilapan teknikal” tersebut telah menyinggung kedaulatan negara serta menunjukkan kurangnya semangat patriotik, malah menyifatkannya sebagai “penghinaan terhadap maruah negara” dan “penghapusan identiti bangsa.

Jika PAS ketika itu begitu tegas mengkritik kesilapan pihak media, maka kini apabila kesilapan yang sama berlaku dalam acara anjuran PAS, adakah mereka sanggup menerima tindakan berdasarkan piawaian yang sama?

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pernah berjanji bahawa kerajaan tidak akan mengamalkan dwi-standard dalam menangani isu kesilapan Jalur Gemilang. Oleh itu, dalam kes terbaru melibatkan kesilapan bendera oleh PAS, kerajaan mestilah mengambil tindakan yang sama rata untuk membuktikan prinsip keadilan dan kesaksamaan serta benar-benar mempertahankan maruah Jalur Gemilang.

𝐃𝐚𝐭𝐮𝐤 Tan Teik Cheng
𝐍𝐚𝐢𝐛 𝐏𝐫𝐞𝐬𝐢𝐝𝐞𝐧 𝐌𝐂𝐀
𝟏𝟑 𝐌𝐞𝐢 𝟐𝟎𝟐5