
Tiga bulan selepas insiden letupan paip gas di Putra Heights, Kerajaan Negeri Selangor mengumumkan laporan siasatan yang menyimpulkan bahawa kejadian tersebut bukan berpunca daripada perbuatan manusia. Keputusan “Tiada Tindakan Lanjut (NFA)” itu telah menyebabkan ramai mangsa terperangkap dalam keadaan lesu dan keliru.
Pengerusi Jawatankuasa Perhubungan MCA Selangor, Datuk Ir. Lawrence Low bersama pasukannya hari ini, 10 Julai 2025, telah mengadakan sesi dialog dan lawatan bersama Persatuan Penduduk Topaz Putra Harmoni bagi memahami dengan lebih lanjut perkembangan bantuan pasca-bencana serta pembinaan semula rumah dan cabaran yang dihadapi oleh penduduk.
Tegasnya, “Mangsa bukan sahaja terkesan oleh letupan, tetapi turut terjebak dalam penantian yang panjang tanpa penghujung. Ini adalah penyeksaan dari segi mental.”
Wakil persatuan penduduk meluahkan bahawa mereka berdepan dengan proses permohonan pampasan dan bantuan pembaikan yang sukar serta panjang lebar. Walaupun mekanisme bantuan telah diumumkan, tetapi penduduk masih tersekat akibat syarat yang rumit dan prosedur pentadbiran yang tidak jelas, kelam-kabut serta kurang penyelarasan.
“Lebih menyedihkan, ramai pemilik rumah masih dalam tempoh jaminan (biasanya setahun), tetapi kini tiada siapa yang boleh dipertanggungjawabkan akibat keputusan NFA. Pampasan yang sewajarnya pun tidak dapat dituntut. Laporan siasatan menyatakan tiada unsur kecuaian atau sabotaj, tetapi harta benda penduduk musnah. Siapa yang akan menanggung kerugian ini?”
Orang ramai turut menyuarakan kebimbangan terhadap tahap “ketelusan susulan” yang amat rendah dan mempersoalkan, jika tiada pihak dipertanggungjawabkan dari sudut undang-undang, adakah ini bermakna semua orang boleh lepas tangan untuk kali ini dan kejadian yang mungkin berlaku pada masa depan?
Low yang juga Naib Presiden MCA berkata, MCA Selangor telah lama menubuhkan perkhidmatan bantuan guaman pasca-bencana yang dikendalikan oleh pasukan sukarelawan terdiri daripada peguam dan ejen insurans, bagi membantu mangsa membuat tuntutan dan mendapatkan khidmat nasihat guaman secara percuma. Jelasnya, MCA bukan sahaja memberi perhatian di peringkat dasar, tetapi juga turun padang dan bersolidariti bersama rakyat.
“MCA Selangor sekali lagi menyeru agar Perdana Menteri menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) yang terdiri daripada pakar undang-undang, kejuruteraan dan geologi yang bebas, bagi menjalankan siasatan menyeluruh dan telus, serta membentangkan hasil siasatan kepada Yang di-Pertuan Agong dan rakyat,” tegas Low.
Dalam sesi dialog tersebut, penduduk juga mempersoalkan keputusan Menteri Besar Selangor yang menolak untuk mengeluarkan Kertas Putih. Mereka bertanya, jika kawasan berisiko tinggi dan langkah pencegahan masa depan tidak dinyatakan secara jelas, bagaimana boleh dijamin bahawa tragedi sebegini tidak akan berulang?
Manakala Setiausaha MCA Selangor, Datuk Lee Ban Seng pula berkata, “Jika tidak melalui Kertas Putih, bagaimana kerajaan mahu menjalankan rumusan sistematik (post-mortem)? Bagaimana hendak merangka cadangan penambahbaikan yang konkrit? Bagaimana orang awam boleh tahu bahawa paip gas seperti ini tidak akan meletup di kawasan lain? Bagaimana pula penduduk yang masih tinggal di atas paip mahu berasa selamat?”
“Jika laporan siasatan pun belum didedahkan sepenuhnya, bagaimana boleh disimpulkan bahawa tragedi ini ‘tidak perlukan’ Kertas Putih?” soalnya.
“Kami tidak boleh menerima cara penyelesaian NFA. Sistem tidak boleh dibiarkan mengabaikan nyawa, harta dan tempat tinggal rakyat.”
Beliau menambah bahawa MCA Selangor akan terus memantau isu ini dan bersedia membantu penduduk dalam melancarkan petisyen, tindakan undang-undang, dan jika perlu, mencadangkan draf Kertas Putih serta reformasi dasar. Beliau menyeru semua pihak agar memberi perhatian dan tidak membiarkan mangsa berjuang bersendirian membela nasib mereka.
- Penerangan MCA