Hal ini kerana golongan itu kini berdepan dengan masalah syarat berkaitan pendapatan keluarga yang tidak melayakkan anak-anak mereka menyertai program pendidikan berkenaan.

Pengerusi Jawatankuasa Perundingan Pendidikan Belia MCA, Ng Sing Phing berkata, pendapatan isi rumah M40 seperti ditakrifkan berdasar kepada piawaian ditetapkan tidak semestinya mencerminkan keupayaan ekonomi yang kukuh.

Jelasnya, ini kerana, perkara tersebut bergantung kepada tempat di mana M40 tinggal sama ada di pinggir bandar atau kawasan luar bandar, selain jumlah tanggungan dalam keluarga serta komitmen lain.

“Keluarga kelas menengah yang menetap di bandar dan menanggung ramai anak bersekolah pasti akan merasakan tekanan hidup di bandar yang lebih berat.

“MCA berharap kerajaan dapat mempertimbangkan rayuan tersebut bagi memastikan golongan M40 tidak dilupakan daripada mendapat hak mereka,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Dalam pada itu, Sing Phing juga berharap agar kerajaan bersikap telus berkaitan pecahan kaum dan pendapatan keluarga berhubung pengumuman pengambilan 40,000 pelajar matrikulasi baru-baru ini.

Katanya, semua data berkenaan sewajarnya diumumkan buat pengetahuan masyarakat sejajar dengan pendekatan kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang mengutamakan ketelusan.

– Utusan Online-