6 Oktober 2020

Kenyataan media Setiausaha Agung MCA Datuk Chong Sin Woon

Jangan biarkan pandemik COVID-19 menewaskan kita, kerajaan wajar laksana semula sebahagian PKP

Susulan peningkatan kes COVID-19 setiap hari di negara ini, kerajaan dilihat wajar mempertimbangkan untuk melaksanakan semula sebahagian daripada peraturan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi memutuskan rantaian jangkitan, seterusnya mengurangkan penularan gelombang ketiga pandemik ini.

Atas pertimbangan ekonomi negara serta kehidupan seharian rakyat, Malaysia mungkin tidak boleh melaksanakan semula PKP sepenuhnya seperti apa yang kita lalui pada bulan Mac lalu, namun setidak-tidaknya kerajaan dapat melaksanakan sebahagian daripadanya, atau memperkenalkan semula kaedah-kaedah kritikal tertentu bagi mengawal rantaian jangkitan sehingga vaksin COVID-19 berjaya dihasilkan serta selamat digunakan.

Saya mencadangkan supaya Majlis Keselamatan Negara (MKN) mengambil langkah-langkah berikut dalam masa dua minggu ini:

1. Mereka yang melakukan perjalanan dari Sabah atau lain-lain tempat berisiko ke Semenanjung hendaklah dikuarantin secara mandatori, bukannya kuarantin kendiri di rumah sahaja.

2. Melarang perjalanan rentas negeri untuk semua aktiviti melainkan yang berkaitan dengan keperluan asas, atau telah mendapat kelulusan pihak polis.

3. Melarang semua bentuk perhimpunan melebihi 50 orang, bagi mengurangkan risiko jangkitan beramai-ramai.

4. Menggalakkan sektor awam dan swasta membenarkan pekerja-pekerja bekerja dari rumah bagi menghadkan pergerakan orang ramai, seterusnya mengurangkan risiko jangkitan.

Kerajaan perlulah bertindak segera dan secara proaktif bagi membendung penularan pandemik ini. Melalui kuarantin mandatori, pesakit-pesakit positif COVID-19 dapat dikenalpasti serta dirawat dengan segera, dan berupaya memutuskan rantaian jangkitan kepada orang ramai.

Jika tidak, bilangan pesakit yang begitu ramai tentunya akan mengakibatkan sistem perubatan dan rawatan negara kita terbeban dengan tekanan yang amat kuat, malah berupaya menjadi lumpuh.

Memandangkan virus COVID-19 ini amat mudah berjangkit, maka rakyat haruslah sentiasa berwaspada dan menjadikan diri sendiri sebagai petugas barisan hadapan. Usahlah keluar rumah sekiranya tiada keperluan penting.

Sekiranya berada di luar, patuhilah segala SOP yang ditetapkan, termasuk mendaftarkan diri menggunakan aplikasi MySejahtera, menyukat suhu badan, menggunakan pelitup muka, kerap mencuci tangan serta sentiasa mengamalkan penjarakan fizikal satu meter, sebagaimana ia menjadi perkara penting dalam tempoh PKP ketika ini.

Hanya dengan kerjasama semua pihak, dan menekankan amalan #KitaJagaKita , maka barulah kita berupaya mengawal gelombang pandemik ketiga ini dan segala usaha kita yang lepas tidak menjadi sia-sia.

-MCA online-