Kini, tercipta satu lagi sejarah di Parlimen Malaysia apabila RUU berkaitan larangan lompat parti diluluskan dengan jumlah sokongan 209 undi, sekali gus, menafikan naratif yang kerap dicanang oleh pihak pembangkang kononnya kerajaan tidak pernah ada kesungguhan untuk mengangkat RUU ini menjadi kenyataan.

Dengan pelaksanaan undang-undang antilompat parti kelak, ahli Dewan Rakyat akan hilang kerusi mereka sekiranya mereka bertukar ke parti lain. Pengecualian hanya diberikan seandainya Ahli Dewan Rakyat tersebut dilucutkan jawatannya daripada parti, parti dibubarkan atau pendaftaran parti dibatalkan.

Kejayaan ini sebenarnya dimiliki oleh semua rakyat Malaysia. Undi untuk meluluskan RUU ini adalah hasil gabungan kedua-dua pihak kerajaan dan pembangkang demi menjamin kestabilan politik yang sangat didahagakan rakyat jelata.

Biarpun berbeza parti dan fahaman politik, 209 Ahli Dewan Rakyat ini sanggup bersatu untuk memastikan RUU ini diluluskan. Justeru, usahlah mana-mana pihak mendabik dada kononnya merekalah yang memperjuangkan RUU ini. Tanpa gandingan kesefahaman semua pihak, tak mungkin RUU ini diluluskan.

Jelas, semangat “Keluarga Malaysia” telah berjaya menggandingkan iltizam semua pihak untuk memastikan pembentangan dan pelulusan RUU Antilompat Parti berjalan dengan lancar.

Dengan ini, saya menyeru semua ahli Parlimen untuk sentiasa menyemat semangat ini dalam diri masing-masing dan terus berkhidmat dan mengutamakan kepentingan rakyat.

Datuk Daniel Ling Sia Chin
Ahli Jawatankuasa Pusat MCA
1 Ogos 2022