Kejadian banjir kilat yang berlaku di Jalan Berkembar Jalan Paya Terubong (Bukit Kukus) yang juga jalan raya bertiang tertinggi di Malaysia pada Februari lalu bukanlah kes pertama yang memperlihatkan ketidakcekapan kerajaan DAP Pulau Pinang.

Sebelum ini, kerajaan DAP Pulau Pinang pernah meruntuhkan "Parkir Kancil" kerana tidak sesuai untuk semua jenis kereta kecuali kereta yang paling kecil seperti Perodua Kancil.

Tetapi, isu ini mungkin dilupakan kerana kerajaan DAP Pulau Pinang telah menggantikan 'parkir Kancil' ini dengan membina Tempat Letak Kereta Bertingkat Bukit Bendera.

'Parkir Kancil' yang mula dibina pada tahun 2009, selepas YB Lim Guan Eng dilantik menjadi Ketua Menteri telah siap dibina pada tahun 2011 dengan menelan kos sebanyak RM5 juta dan juga disifatkan sebagai bukti ‘Kecekapan, Ketelusan dan Akauntabiliti’ (CAT) yang dicanangkan oleh kerajaan DAP Pulau Pinang.

Tetapi setahun selepas itu, bangunan tersebut diruntuhkan sepenuhnya kerana terdapat beberapa masalah yang dibangkitkan seperti isu reka bentuk yang tidak memenuhi piawaian. Bukan itu sahaja, parkir itu juga tidak dilengkapi kemudahan lif, dan pengunjung yang meletakkan kenderaan 'kecil' mereka perlu menaiki tangga di bangunan setinggi lima tingkat itu.

Adakah ini maksud sebenar prinsip CAT kerajaan DAP Pulau Pinang? Adakah struktur bangunan yang tidak selamat dan tidak pernah mendapat Sijil Kelayakan (CF) ini bukti kecekapan kerajaan Pulau Pinang?

Tidak terhenti setakat itu. Selepas diruntuhkan, tempat letak kereta itu dibina semula dengan kos RM11.5 juta dan dirasmikan pada tahun 2015 oleh Guan Eng.

Selepas enam tahun (2009 - 2015), dengan kos sebanyak RM16.5 juta dan mampu memuatkan 305 buah kereta (kira-kira RM54 ribu untuk satu kotak parkir), akhirnya tempat pelancongan Bukit Bendera mempunyai tempat letak kereta untuk para pengunjung.

Persoalannya, kenapa bazirkan RM5 juta dan masa kira-kira setahun untuk pembinaan 'parkir Kancil'?

Apakah ada mana-mana pihak yang dihadapkan ke mahkamah kerana ketidakcekapan dan pembaziran ini?

Adakah Lim Guan Eng terlalu berkuasa sehingga tidak dapat untuk dipertanggungjawab berhubung perkara ini?

Jika ada yang merasakan ini 'isu lama', tetapi sepertimana isu kapal Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) LCS, isu ini juga perlu diambil perhatian serius kerana membabitkan kepentingan rakyat.

Rakyat khususnya di negeri Pulau Pinang memerlukan jawapan dan tidak mahu lagi mana-mana kes digugurkan begitu sahaja sepertimana yang berlaku terhadap kes rasuah membabitkan Lim Guan Eng pada tahun 2018, hanya beberapa bulan Pakatan Harapan berkuasa.

Saw Yee Fung
Jurucakap MCA
16 OGOS 2022