6 September 2018

Kenyataan Media Setiausaha MCA Selangor, Dato’ Ng Chok Sin

Pusingan U gaji minimum – Satu lagi bukti kegagalan Pakatan Harapan

Sebelum PRU14, Pakatan Harapan telah menabur pelbagai janji dengan tujuan menarik sokongan rakyat. Malah, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad pernah mengakui pada masa itu bahawa kebanyakan janji-janji yang disenaraikan dalam manifestonya tidak mampu dipenuhi. Baru-baru ini, beliau juga mendedahkan bahawa Pakatan membuat janji tanpa jangkaan untuk menang.

Ini bermaksud, Pakatan telah “hentam” sahaja janji manifesto, dan sekarang, rakyat “terkejut” mendengar kerajaan baharu melanggar janji-janji yang dibuat, contohnya pemansuhan tol, menurunkan harga minyak, dan BR1M.

Pusingan U yang terbaru ini mengenai gaji minimum adalah satu lagi tamparan hebat kepada rakyat, terutamanya mereka dalam golongan berpendapatan rendah. Dalam beberapa bulan sahaja, Pakatan Harapan dilihat seakan tidak mengambil kisah kebajikan dan masalah rakyat, tetapi lebih menumpu kepada pendedahan “skandal-skandal” kerajaan sebelum ini dalam usaha mengalih perhatian rakyat.

Pengumuman kerajaan semalam bahawa gaji minimum ditetapkan sebagai RM1,050 telah menghampakan rakyat, kerana apa yang dijanji sebelum ini adalah RM1,500. Lagi memedihkan, keputusan ini dibuat selepas Perdana Menteri menuduh kerajaan BN “terlalu manjakan rakyat”, dan menyeru rakyat “berdikari” dan kaum Bumiputera untuk “membuang tongkat” yang diberikan kerajaan. Anehnya, anak-anak Tun Mahathir pula diberi kontrak kerajaan.

Pusingan U terbaru ini menggambarkan sikap hipokrit Pakatan Harapan, dan kegagalan parti-parti DAP dan PKR untuk mengawal, dan menyemak dan mengimbang Tun Mahathir. Kegagalan “semak dan imbang secara dalaman” juga boleh dilihat sebagai salah satu janji yang tidak dapat ditunaikan Pakatan Harapan. 

Ia semakin jelas bahawa hanya MCA, bersama-sama dengan parti pembangkang yang lain, terpaksa menggalas tanggungjawab untuk semak dan imbang, kerana DAP dan PKR nampaknya tidak mampu.

Dato’ Ng Chok Sin
Setiausaha Jawatankuasa Perhubungan Negeri MCA Selangor

-MCA online-