7 Februari 2023

Kenyataan media Timbalan Bendahari Agung MCA, Datuk Lawrence Low

Pandang serius kaji selidik awam, segera atasi masalah melibatkan petugas barisan hadapan negara

Sistem negara bakal berdepan krisis seandainya kakitangan di Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) tekad untuk meninggalkan kerjaya mereka akibat tekanan yang mereka hadapi pada ketika ini.

Justeru itu, kerajaan perlu melakukan sesuatu untuk menambah baik sistem sedia ada bagi mengelakkan perkara yang tidak diingini berlaku dikemudian hari.

Antara masalah yang dihadapi oleh kakitangan KKM ini ialah sistem yang tidak cekap; tekanan dan bebanan kerja; gaji yang tidak setimpal; dan kekurangan kakitangan di tempat-tempat kritikal.

Melalui Bajet 2023 yang akan dibentangkan tidak lama lagi, kerajaan perlu memperuntukkan perbelanjaan yang lebih besar kepada KKM untuk mengatasi masalah ini.

Sebagaimana hasil tinjauan subset 798 orang pekerja tetap dalam sistem kesihatan awam Malaysia dari soal selidik CodeBlue menunjukkan, seramai 62% ingin meletak jawatan; 41% bersedia melakukan mogok; lebih 70% lebihan kerja, gaji tidak berbaloi, 'burnout' (keadaan kelelahan fizikal, mental dan emosi akibat tekanan yang berpanjangan) dan 58% adalah pegawai perubatan, 23% adalah pakar/ sub-pakar.

Timbul persoalan, adakah kerajaan mahu berlengah lagi berhubung isu ini? Adakah setelah keadaan menjadi tidak terkawal baru kerajaan mahu bertindak? Bagi saya, "mencegah lebih baik daripada mengubati". Itulah seharusnya dilakukan oleh kerajaan pada ketika ini.

-MCA online-