Guan Eng alih isu terowong dasar laut
LRT 3: Pengecilan drastik projek, bukan penjimatan kos - MCA  

Malaysia tempat keempat negara terbaik untuk melabur 2018

Pada Rabu    07-03-2018 12:26:00

Malaysia berada di kedudukan keempat senarai negara terbaik untuk melabur pada 2018, berdasarkan kajian yang dibuat oleh firma media berpangkalan di Amerika Syarikat (AS), U.S News.

Berdasarkan senarai 20 negara teratas dibuat oleh firma yang menerbitkan pelbagai analisis dan ranking ekonomi dunia, Malaysia mendahului beberapa negara maju lain di dunia termasuk Singapura di tempat kelima, Australia (keenam) dan Sepanyol (ketujuh).

Negara ASEAN menguasai senarai itu apabila Filipina dinamakan negara terbaik untuk melabur pada 2018, diikuti oleh Indonesia di tempat kedua. Ia menjadikan empat negara rantau ini melengkapkan senarai lima negara terbaik untuk melabur pada 2018, selain Poland di kedudukan ketiga.

Melengkapkan senarai 10 negara terbaik untuk melabur pada tahun ini adalah Thailand di tempat kelapan, India (kesembilan) dan Oman (ke-10).

Bagi layak sebagai negara yang berbaloi untuk melabur, U.S News menggunakan beberapa set standard yang perlu dipatuhi, bersandarkan kepada kriteria ditetapkan oleh Kumpulan Bank Dunia.

Laporan Kumpulan Bank Dunia menjelaskan empat faktor iaitu rakyat sesebuah negara, persekitaran, hubungan dan rangka kerja.

Empat faktor berkenaan adalah sandaran kepada individu atau syarikat korporat untuk melabur, berdasarkan sumber asli, pasaran, teknologi atau jenama sesebuah negara itu.

Keputusan pelaburan kebiasaannya adalah bagi membolehkan seseorang individu atau sesebuah syarikat mendapatkan akses kepada sumber asli yang tiada di pasaran negaranya, mendapatkan pelanggan baharu, mengurangkan kos pengeluaran dengan menggunakan akses kepada teknologi baharu serta menyasarkan aset strategik dalam ekonomi tempatan seperti jenama atau saluran pengedaran baharu.

Berdasarkan garis panduan dikeluarkan oleh Kumpulan Bank Dunia itu, U.S News mengenal pasti negara terbaik untuk melabur pada 2018.

U.S News membuat kajian ke atas 21,000 individu dari seluruh dunia mengenai 80 negara seluruh dunia, dengan membuat ukuran ke atas 65 ciri-ciri berlainan, termasuk pengaruh budaya, keusahawanan dan kualiti hidup.

Bagi negara terbaik untuk pelaburan, U.S News memberi tumpuan kepada lapan daripada 65 ciri-ciri berkenaan iaitu keusahawanan, kestabilan ekonomi, persekitaran cukai, inovasi, tenaga kerja mahir, kepakaran teknologi, dinamik dan kadar rasuah.

Maklum balas daripada responden, yang terdiri daripada pembuat keputusan perniagaan di seluruh dunia, digunakan untuk menentukan ranking berkenaan.

INFO:

Negara terbaik untuk melabur 2018:

1. Filipina
2. Indonesia
3. Poland
4. Malaysia
5. Singapura
6. Australia
7. Sepanyol
8. Thailand
9. India
10. Oman

-Berita Harian-

Berita Berkatian

Pengurusan ekonomi zaman kerajaan BN terbukti berdaya saing

Khidmat kesihatan Malaysia diiktiraf dunia - PM

Prestasi bekalan elektrik negara dapat pengiktirafan dunia

UM berjaya mengatasi kedudukan universiti terkemuka Asia, UTAR dalam kelompok 100 teratas

Malaysia pilihan terbaik bersara di Asia