Sebagai anak jati yang membesar di Seremban, calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Seremban, Datuk Chong Sin Woon mempunyai pelbagai rancangan membangunkan kawasan itu hasil perhatian dan pengalamannya sendiri.

Ketua Pemuda MCA Kebangsaan yang lebih dikenali sebagai Ah Chong dan terkenal dengan slogan Den Anak Soromban itu berkata, Seremban seharusnya bersedia menjadi bandar raya hebat tidak lama lagi, namun pada masa sama kehidupan penduduknya pula sejahtera.

Chong yang juga calon muka baru BN berkata, beberapa isu perlu diberi perhatian dalam perubahan berkenaan, antaranya membabitkan perkhidmatan pengangkutan awam yang menjadi salah satu daripada 12 teras manifesto dijanjikannya.

Beliau yang fasih berbahasa Melayu kerap turun padang untuk menilai tahap perkhidmatan bas henti-henti sebelum mengenal pasti kelemahan yang perlu diperbaiki demi kemudahan pengguna terdiri daripada pelbagai golongan masyarakat.

“Pernah sekali, saya bersama pengguna lain termasuk seorang ibu tunggal yang mahu menaiki bas dari Terminal One ke Temiang yang jaraknya hanya beberapa kilometer, terpaksa menunggu selama 40 minit sebelum bas tiba.

“Saya dapati antara kelemahan perkhidmatan ini ialah bas tidak mengikut jadual, selain syarikat pengendali tidak mempunyai pelan kontingensi apabila kenderaan rosak, sekali gus menjejaskan keseluruhan jadual perjalanan,” katanya.

Beliau juga akan berusaha untuk meningkatkan kekerapan tren komuter Seremban ke Kuala Lumpur daripada 15 minit kepada 7.5 minit pada waktu puncak, bagi menampung keperluan penduduk daerah ini yang bekerja di ibu negara.

Teras lain dalam manifesto Chong ialah menyediakan kehidupan lebih berkualiti untuk anak muda, penduduk dapat menjana pendapatan isi rumah melalui ekonomi kebudayaan, anak

Seremban bekerja dan tinggal di Seremban serta meningkatkan pendapatan isi rumah melalui pendapatan kedua untuk hidup lebih berkualiti.

Selain itu, ia turut membabitkan liputan Internet berkelajuan tinggi di bandar Seremban, pertanian moden untuk meningkatkan pendapatan dan keselamatan makanan, mempergiatkan perkembangan pelancongan setempat, menjaga kebajikan dan memperkasa ibu tunggal di Seremban serta menghargai pengorbanan warga emas.

Sementara itu, Anisah Mohd Attas, 58, yang tinggal di Ampangan berkata, manifesto Chong memberi harapan kepada penduduk Seremban untuk menikmati kehidupan yang lebih berkualiti seiring dengan pembangunan pesat kini.

“Perancangan Ah Chong yang diterjemahkan dalam manifestonya memang sesuai dan amat tepat dengan keadaan semasa kerana akan memberi manfaat kepada semua golongan masyarakat,” katanya.

Alan Lai Chien Kong, 46, dari Mantin pula berkata, Chong memahami keperluan dan kehendak orang tempatan kerana dia sendiri berasal dari Seremban, justeru, perancangannya mengambil kira semua faktor.

“Dia tidak lahir dalam keluarga kaya. Jadi perancangannya lahir daripada pemerhatian mendalam dan pengalaman sendiri selama puluhan tahun dan dia pasti mahu yang terbaik untuk orang tempatan dan tempat sendiri,” katanya.

R Vigneeswaary, 28, yang bekerja di Seremban berkata, tumpuan terhadap pembangunan ekonomi orang muda dalam manifesto Chong memberi harapan kepada golongan itu mendapat lebih banyak peluang untuk memajukan diri dan keluarga.

-Harian Metro-