Setiausaha Agung MCA, Ong Ka Chuan hari ini menyaran rakyat Malaysia supaya sentiasa berwaspada, kerana perasaan benci yang melampau oleh pemimpin Pakatan Harapan (PH).

Beliau turut menggesa rakyat Malaysia bersama-sama menolak politik kebencian, kerana hanya dengan kesedaran rakyat tentang akibat buruk politik kebencian, barula dapat menghalang malapetaka ini.

“Tinggal tiga hari sebelum hari mengundi pada 9 Mei. Apa yang dikesalkan, sepanjang 11 hari berkempen, Pakatan Harapan telah berulang kali menghasut perasaan benci di kalangan rakyat sehingga semua sesi ceramah pihak pembangkang langsung tidak menyentuh visi, idea, dan manifesto mereka.”

“Fenomena ini selain merisaukan juga mencerminkan sikap kurang matang Pakatan Harapan kerana ia mengepikan konsep rasional seperti visi, idea, dan manifesto, dan sebaliknya digantikan dengan retorik kebencian,” kata Ong dalam satu kenyataan.

Menurutnya, perasaan benci yang melampau tidak akan dapat dikawal oleh sesiapa dan akhirnya akan memecahbelahkan masyarakat dan menenggelamkan nilai-nilai kemanusiaan.

“Taktik mengaut undi yang digunakan Pakatan Harapan ini sangatlah tidak bertanggungjawab,” tegas beliau sambil menambah cara berkempen PH juga sangat tidak sihat.

“Sejak pembubaran Dewak Rakyat sehingga hari ini, pendapat umum hanya menumpu kepada keganasan, fitnah, buli, berita tidak benar dan penggunaan kata-kata menyumpah, langsung tidak ada sebarang perbincangan politik secara rasional. Ini menunjukkan bahawa keadaan politik demokrasi Malaysia semakin mengundur.

“Pengamalan politik kebencian mampu merebak seperti kebakaran hutan yang tidak terkawal. Jika tidak dipantau dengan baik, ia akan merebak dan membakar seluruh hutan.”

Sambungnya, tindakan PH untuk mengamalkan taktik sebegini membuktikan betapa terdesak mereka untuk mencapai agenda politik tersendiri sehingga sanggup mengabaikan keharmonian dan masa depan seluruh negara.

-Berita Daily-