30 Ogos 2017

Kenyataan Media Presiden MCA Merangkap Menteri Pengangkutan Dato’ Sri Liow Tiong Lai

Liow: Rakyat Berbilang Kaum dan Maju Selama 60 Tahun

Selamat Hari Merdeka kepada semua rakyat Malaysia.

Pada tahun ini, kita menyambut kemerdekaan Malaysia yang ke-60. Tidak dapat dinafikan bahawa kemerdekaan ini merupakan perjalanan yang merangkumi perkembangan, kemajuan, dan yang paling penting, pengenalan identiti kita sebagai sebuah negara yang aman damai dan terdiri daripada pelbagai budaya. Melalui pembelajaran daripada masa lalu dan kejayaan yang dicapai, kita telah berkembang maju selama beberapa dekad dalam menghadapi pelbagai cabaran dan halangan.

Masyarakat yang hidup dalam keadaan harmoni dan bersatu-padu merupakan asas terpenting untuk menjana pembangunan sesebuah negara. Sebagai satu Rakyat, kita merupakan tulang belakang negara dalam usaha memacu ke arah status negara maju. Bukti-bukti pembangunan yang maju dapat dilihat secara jelas dalam pelbagai sektor, dari segi ekonomi dan kewangan, ke pendidikan dan pembangunan infrastruktur serta sukan di persada antarabangsa.

Keputusan Sukan SEA Ke-29 yang baru tamat merupakan bukti kecemerlangan warganegara Malaysia. Sesungguhnya, atlet-atlet handal yang merangkumi pasukan negara telah membanggakan Malaysia, dengan menunjukkan sifat-sifat tekad, disiplin dan kemahiran tinggi sejak dari hari pertama Sukan SEA Ke-29 berlangsung.

Kemenangan-kemenangan hebat dan prestasi-prestasi yang memecahkan rekod yang telah dipamerkan oleh atlet-atlet kebangsaan merupakan antara cara tersendiri kita untuk menyambut tahun ke-60 Kemerdekaan negara. Dalam semangat kesukanan, persahabatan dan semangat Negaraku, setinggi-tinggi tahniah diucapkan kepada atlet-atlet kita atas pencapaian mereka dalam Sukan SEA Ke-29! Marilah kita menjadikan semangat dan titik peluh mereka dalam mewakili negara Malaysia sebagai inspirasi bagi kita.

Sekali lagi, Selamat Hari Merdeka yang ke-60 kepada semua rakyat Malaysia. Kepada mereka yang akan bercuti pada hujung minggu ini, semoga selamat dalam perjalanan dan berhati-hati di jalan raya.

-MCA online-