Presiden MCA Datuk Seri Wee Ka Siong hari ini mempersoal langkah kerajaan Pakatan Harapan (PH) menarik balik peruntukan yang disediakan kepada perniagaan kecil dan sederhana (SME) milik orang Cina.

Wee berkata, penarikan balik peruntukan sebanyak RM50 juta yang diberikan sebagai pinjaman kepada SME Cina merupakan satu kejutan besar kepada banyak pihak.

“Kami baru mendapat berita bahawa satu peruntukan yang diluluskan di bawah Belanjawan 2018 bagi membantu SME Cina telah dibatalkan.

“Ia diluluskan oleh Parlimen tahun lepas, tetapi tiba-tiba kerajaan mengeluarkan surat dan berkata peruntukan itu dibatalkan.

“Ini benar-benar mengejutkan,” katanya, di pinggir Persidangan Agung Tahunan MCA, di sini hari ini.

Wee berkata, Koperasi Jayadiri Malaysia Bhd (Kojadi), sebuah koperasi dengan 60,000 ahli membantu kerajan sebelum ini.

“Setiap tahun mereka akan membuat pinjaman sebanyak RM50 juta. Mereka perlu membuat bayaran balik dalam tempoh beberapa tahun.

“Mereka tidak akan mendapat bayaran balik bagi belanja pengurusan daripada kerajaan. Jika ada hutang lapuk, mereka perlu tanggung sendiri.

“Tiba-tiba kerajaan batalkan peruntukan yang dijanjikan dulu. Ia menunjukkan betapa remehnya sikap dan tidak bertimbang rasanya kerajaan sekarang,” katanya.

Wee dalam ucapan dasarnya sebelum itu berkata, kerajaan baru dalam Belanjawan 2019 telah menarik balik peruntukan pinjaman RM50 juta kepada SME Cina dan RM30 juta adalah peruntukan kredit mikro kepada penjaja dan peniaga kecil.

“Apakah ini adil kepada masyarakat Cina, yang juga pembayar cukai? Pakatan berjanji mahu merangsang pertumbuhan ekonomi yang saksama dan mapan serta membina sebuah negara inklusif, moderat dan dihormati, tetapi ini cakap tak serupa bikin.

“Perkembangan terbaru ini menunjukkan kepentingan pemantauan dan proses semak dan imbang. MCA akan memikul tanggungjawab itu dan kami mengalu-alukan sumbangan serta sokongan bagi membina negara Malaysia yang lebih baik.

“MCA akan melahirkan semangat serta sikap pembangkangnya sendiri serta membina kesedaran perjuangan yang kuat bagi mendedahkan tindak-tanduk DAP yang tidak masuk akal dan tidak munasabah,” tambah beliau.

-Free Malaysia Today-