
Dengan ini diumumkan, Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) MCA akan diadakan bermula pada malam 30 November hingga 1 Disember, manakala AGM bagi Pemuda MCA serta Wanita MCA pula pada 30 November.
AGM 2019 MCA serta kedua-dua sayapnya pada mulanya dijadualkan pada 2 dan 3 November, tetapi memandangkan ia “bertembung secara kebetulan” dengan hari penamaan calon yang ditetapkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi pilihan raya kecil kawasan Parlimen Tanjung Piai, maka Majlis Presiden MCA dalam mesyuaratnya sebelum ini telah memutuskan untuk menangguhkan AGM tersebut.
Penangguhan AGM MCA serta kedua-dua sayapnya melibatkan banyak kerja penyusunan semula serta tindakan susulan berhubung tempat, logistik, makanan dan penginapan. Keputusan telah dibuat untuk mengadakan AGM seperti diumumkan, setelah persediaan lengkap.