RP ketika ini antara lain memiliki tujuh sekolah dan lima pusat kecemerlangan yang memberi tumpuan kepada bidang seperti pengurusan rantaian bekalan, hospitaliti, sukan dan kesihatan, seni sonik, teknologi agrikultur dan inovasi makanan.
Menurut Encik Aznan, bidang-bidang itu mempunyai potensi besar untuk diterokai dalam pembangunan TVET Johor yang lebih progresif.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan, Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia Johor, Encik Lee Ting Han, berkata lawatan kerja tersebut amat signifikan dalam konteks pembangunan JS-SEZ, terutama dalam membina ekosistem bakat rentas sempadan.
"Politeknik Republic merupakan salah satu institusi teknikal dan vokasional terkemuka yang melahirkan tenaga mahir berorientasikan industri.
"Kerjasama dengan institusi seperti ini akan memperkukuh lagi usaha Johor untuk membangunkan modal insan bermutu tinggi bagi sektor utama seperti perkilangan maju dan ekonomi digital," katanya.
Menurut Encik Lee, JS-SEZ menuntut pembentukan tenaga kerja berkemahiran tinggi dan berpandangan sejagat bagi menyokong sektor pelaburan strategik antara Johor dengan Singapura.
"Johor dan Singapura bukan sekadar jiran; kita adalah rakan kongsi dalam membentuk masa depan ekonomi serantau yang lebih makmur dan berdaya saing," katanya.
Lawatan tersebut turut menandakan komitmen berterusan kerajaan Johor dalam memperkukuh hubungan pendidikan dan pembangunan bakat antara kedua-dua pihak, sejajar dengan hala tuju strategik negeri untuk menjadi hab pengetahuan dan inovasi serantau menjelang 2030.
- Berita Harian Singapura