6 Disember 2018

Kenyataan Akhbar Setiausaha Agung Pemuda MCA Daniel Wa Wai How

PTPTN patut mengajar nilai-nilai yang betul

Pemuda MCA berpendapat, sesebuah kerajaan patut melakukan perkara yang betul, bukannya membuat perkara yang salah hujung pangkal atau hitam putihnya, hanya semata-mata untuk menyedapkan hati pengundi, kerana ini bukan sahaja akan menyebabkan pembangunan negara terkebelakang, tetapi juga mengakibatkan kualiti serta standard moral rakyat menurun. 

Demi memancing undi, kerajaan Pakatan Harapan (PH) telah berjanji sewenang-wenangnya sebelum pilihan raya umum bahawa mereka akan membatalkan pembayaran balik pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) jika berkuasa nanti. Kini polisi mereka dalam mendapatkan bayaran balik pula berubah-ubah, selain melucukan juga tidak dapat memuaskan hati setiap orang.

Di bawah dasar terbaru kerajaan, potongan gaji berjadual (PGB) yang diwajibkan ke atas peminjam yang berpendapatan RM2000 sebulan hanya 2% daripada gaji atau RM40, tetapi menjadi setinggi 15% kepada mereka yang bergaji RM8000, iaitu potongan sebanyak RM1200.

Persoalannya, dengan pembayaran balik RM40 sebulan, sampai bilakah baharulah hutang akan dapat dilangsaikan? Di samping itu, potongan RM1200 sebulan juga merupakan tekanan kuat kepada golongan berpendapatan pertengahan.

‘Hutang emas dibayar emas’, ini merupakan pegangan asas kita semua. Tetapi di bawah propaganda PH, ‘hutang tidak perlu dibayar’ telah menjadi modal politiknya, malah penghutang terus dimanjakan sehingga kini, bukan sahaja membebankan agensi-agensi kerajaan yang lain, tetapi juga memeningkan majikan yang bakal menghadapi bebanan kos transaksi PTPTN.

Kalau setakat memungut hutang PTPTN pun tidak boleh berlaku adil, apa lagi kewibawaan yang ada pada kerajaan Malaysia? Dasar kerajaan menetapkan mereka yang bergaji bulanan RM2000 ke bawah tidak wajib ditolak gaji untuk pembayaran balik pinjaman PTPTN, adakah ini satu bentuk galakan supaya lebih ramai muda-mudi tidak bekerja bersungguh-sungguh dan tidak berusaha untuk memperoleh pendapatan lebih tinggi?

Banyak dasar kerajaan PH bertujuan menghukum budak baik dan dengar cakap, tetapi memanjakan budak nakal. Lama-kelamaan, generasi akan datang kita bakal menjadi malas berusaha dan hanya menunggu bantuan kerajaan sahaja.

Janganlah Pengerusi PTPTN Wan Saiful menjadi seperti bekas bosnya Menteri Pendidikan Maszlee, yang gemar membuat pengumuman tanpa berfikir, yang bukan sahaja mengelirukan orang ramai, tetapi juga menjadi bahan jenaka.

Sepatutnya PTPTN berpegang kepada prinsip asasnya, iaitu hutang mesti dibayar, melainkan kes-kes tertentu seperti kemiskinan keluarga, sakit dan sebagainya, yang boleh dikemukakan permohonan untuk pertimbangan berasingan. Kalau tidak, para peminjam mestilah berikhtiar sendiri untuk melangsaikan hutang mereka.

Golongan muda mestilah diajar untuk senantiasa bertanggungjawab terhadap perbuatan dirinya, bukannya membelanjakan wang masa depan sekarang, dan menangis meminta pertolongan daripada kerajaan atau ibubapa apabila menghadapi masalah, atau mengatakan memungut hutang daripada mereka itu tidak adil.

Banyak dasar kerajaan terdahulu ada kebaikannya, termasuklah pengecualian pembayaran balik pinjaman bagi lulusan sarjana muda kelas pertama dengan kepujian. Ini akan menggalakkan pelajar-pelajar berusaha bersungguh-sungguh, di samping membolehkan mereka yang tidak mendapat biasiswa kerajaan untuk mendapat bantuan kerajaan.

-MCA online-