7 Disember 2018

Kenyataan Akhbar Ketua Pemuda MCA Nicole Wong Siaw Ting

Projek kereta nasional ketiga - Apa terjadi kepada jaminan tidak menggunakan wang rakyat?

Pada bulan Ogos lalu, Menteri Kewangan Lim Guan Eng telah memberi jaminan bahawa projek kereta nasional ketiga tidak akan menggunakan wang rakyat, malah Timbalan Menteri Perdangangan Antarabangsa dan Industri Ong Kian Ming juga telah menyuarakan sokongannya terhadap projek tersebut. Susulan pengumuman bahawa kerajaan telah meluluskan peruntukan untuk projek ini, kedua-dua pemimpin ini harus tampil memberi penjelasan mengenai pendirian mereka sebelum ini.

Hari ini, Menteri Pembangunan Usahawan Datuk Seri Mohd Redzuan Yusof dilaporkan berkata bahawa kerajaan telah meluluskan peruntukan untuk penyelidikan dan pembangunan projek kereta nasional ketiga, dan jumlah peruntukan bakal diumumkan Perdana Menteri sendiri.

Selepas membentuk kerajaan baharu Pakatan Harapan telah menagih simpati rakyat dengan alasan kerajaan tidak ada dana yang mencukupi. Mereka juga melancarkan Tabung Harapan untuk menaikkan semangat rakyat meyumbang kepada negara. Akan tetapi, kerajaan telah memungkiri janjinya supaya tidak menggunakan wang rakyat untuk projek kereta nasional ketiga. Ini juga menimbulkan keraguan mengenai dakwaan bahawa kerajaan kehabisan dana. Redzuan juga memberi bayangan bahawa peruntukan yang diberi kerajaan agak besar jumlahnya. Akhirnya, rakyat yang terpaksa menanggung projek ini.

Walaupun rakyat jelata menyatakan bantahan terhadap projek ini, tetapi kerajaan tidak mengendahkan kehendak rakyat semata-mata untuk melaksanakan agenda peribadi Tun Mahathir. Jika komponen Pakatan Harapan tidak berani menentang kehendak Perdana Menteri dan gagal menepati janji mereka, maka apa gunaya melantik mereka ke dalam Jemaah menteri?

Demi melaksanakan projek kereta nasional ketiga ini, ia tidak mustahil kerajaan akan bertindak memotong dana bagi projek-projek awam lain yang bertujuan menjaga kebajikan rakyat.

-MCA online-