Liow: CRCC sahkan bukan pemegang saham dalam projek terowong
Kit Siang dinasihat kritik kerajaan, bukan hanya kritik MCA  

UM berjaya mengatasi kedudukan universiti terkemuka Asia, UTAR dalam kelompok 100 teratas

Pada Khamis    08-02-2018 10:45:00

Universiti Malaya (UM) kini melonjak ke tangga ke 46 dalam senarai Ranking Universiti Asia yang dikeluarkan Times Higher Education (THE).

Ini merupakan kedudukan terbaik UM selepas menyertai 50 ranking teratas berbanding tahun lalu di kedudukan ke 59.

UM kini mengatasi institusi terkemuka seperti University of Macau, Kyushu University, National Chiao Tung University dan Qatar University.

Menurut pengarang ranking global THE, Phil Baty, lonjakan UM ini amat menggembirakan memandangkan Malaysia adalah antara negara Asia yang berpotensi paling besar dalam pendidikan tinggi yang disumbangkan oleh pertumbuhan pesatnya dalam produktiviti penyelidikan dan tahap pendapatan yang tinggi.

"Kini ia perlu meningkatkan mutu penyelidikannya untuk menyerlah dalam persaingan sengit di benua terbesar dunia tersebut," katanya menerusi kenyataan pada Rabu.

Institusi utama Malaysia menunjukkan peningkatan dalam kesemua lima bidang yang diukur dalam menentukan ranking tersebut iaitu pengajaran, penyelidikan, sumbangan kertas kerja (kesan sitasi), pendapatan industri dan pandangan antarabangsa.

Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR) turut menunjukkan peningkatan dan kini menyertai kelompok top 100 di kedudukan ke-99 (naik dari 111-120).

Sementara itu, Universiti Teknologi Petronas berkongsi kedudukan ke-114 (naik dari 141-150). Walau bagaimana pun, kebanyakan universiti Malaysia yang berkedudukan lebih rendah telah menunjukkan penurunan.

Universiti-universiti Malaysia pada umumnya mempunyai pandangan antarabangsa yang kukuh dan mencapai tahap pendapatan industri yang agak tinggi.

Bidang yang paling lemah bagi negara ini adalah kesan sitasi tetapi bidang ini yang menunjukkan peningkatan pada tahun ini.

Malaysia turut mendapat mata untuk produktiviti penyelidikan.

Walau bagaimanapun, skor Malaysia untuk peratusan pelajar antarabangsa, nisbah pelajar-kakitangan dan pendapatan bagi setiap kakitangan kesemuanya menurun.

Trend utama bagi Ranking Universiti Asia THE  tahun ini adalah peningkatan berterusan China.

Republik tersebut kini menduduki hampir satu per lima daripada tempat dalam ranking tersebut dan beberapa daripada institusinya telah menunjukkan peningkatan kukuh, terutama sekali Tsinghua University, yang kini menjadi institusi berkedudukan teratas negara tersebut buat kali pertama dalam sejarah enam tahun jadual tersebut.

National University of Singapore terus memegang kedudukan nombor satu keseluruhan selepas meningkatkan skornya dalam hampir kesemua bidang.

Tetapi banyak negara Asia yang merasakan bahang persaingan tersebut. 

-Astro Awani-

Berita Berkatian

UM duduki ranking 400 teratas; UTAR kedua terbaik di Malaysia

Semua universiti penyelidikan M’sia tersenarai satu peratus universiti teratas di dunia

IPT diminta ubah kandungan kursus, persiapan ke arah Industri 4.0

UTAR antara lapan universiti boleh kreditasi sendiri program

UM disenarai 100 Universiti Terbaik Asia 2017, UTAR di tangga 120 ke atas