Kesungguhan untuk memajukan kawasan kelahirannya jelas tergambar melalui manifesto yang dirangka bagi Parlimen Seremban untuk Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Mengandungi 12 perkara utama manifesto itu mengambarkan iltizam Sin Woon, 44, atau lebih dikenali dengan panggilan Ah Chong untuk membawa perubahan dan pembangunan demi ke-sejahteraan penduduk di ibu ne-geri Negeri Sembilan itu.

Dengan tema ‘Serembanku Hebat’, ia menggariskan penyelesaian, keprihatinan dan reaksi kepada masalah rakyat yang perlu diberi perhatian dalam tempoh lima tahun akan datang.

Sin Woon yang juga Ketua Pemuda MCA Kebangsaan berkata, sepanjang memegang jawatan sebagai Senator sejak April 2014, beliau telah melihat dan berkongsi keluhan rak­yat sekali gus memberi banyak maklumat tentang kehidupan mereka.

Menurut beliau, salah satu wa­wasannya adalah untuk menyediakan lebih banyak peluang pekerjaan profesional kepada anak tempatan bagi memastikan mereka dapat tinggal dan bekerja di Seremban.

“Bagi tujuan itu kita akan laksanakan lebih banyak program dan kempen kesedaran kepada anak muda supaya turut sama mengambil bahagian dalam pembangunan di bawah Malaysia Vision Valley (MVV),” katanya di sini baru-baru ini.

Menurut Sin Woon, janji beliau sekiranya dipilih sebagai Ahli Parlimen adalah untuk menyediakan platform bagi menjana pendapatan melalui kebudayaan dengan memperluaskan konsep pasar kebudayaan unik seperti Tin Tin Market dan Nilai Marklet ke seluruh Seremban.

Sin Woon juga menjanjikan perkhidmatan pengangkutan MyBAS lebih baik kepada pengguna berbanding pada masa ini.

Katanya, usaha akan dibuat bagi memastikan peningkatan kekerapan tren komuter antara Seremban dan Kuala Lumpur pada waktu puncak kepada 7.5 minit sekali gus menjanjikan perkhidmatan lebih cepat kepada pengguna.

Sebagai calon muda, Sin Woon dilihat mempunyai kelebihan, semangat serta tenaga untuk membawa perubahan kepada Seremban selepas 9 Mei ini.