Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, gabungan pembangkang PKR kini dilihat semakin terdesak dan dijangka lebih banyak tuduhan serta beri­ta palsu akan dikeluarkan termasuk memburukkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

“Pembangkang hanya tahu menghasut dan menanam benih kebencian dalam kalangan rak­yat. Ini merupakan taktik kotor untuk mencemarkan kredibiliti SPR.

“Kita tahu ada banyak lagi ‘op hitam’ yang akan digunakan pembangkang. Rakyat diminta berhati-hati dan bersabar serta tidak terpengaruh dengan sebarang berita palsu yang banyak dikeluarkan dalam tempoh 48 jam ini,” katanya ketika ditemui pemberita selepas beramah mesra dengan penduduk di Kampung Baru Chamang di sini hari ini.

Yang turut hadir, bekas Timbalan Presiden MCA, Tan Sri Lim Ah Lek yang juga bekas Ahli Parlimen Bentong dan calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bilut, Jason Poo Mun Hoong.

Tiong Lai yang merupakan calon BN bagi kerusi Parlimen Bentong mengulas tuduhan anak bekas Perdana Menteri, Marina Mahathir ketika menyampaikan ceramah di Taman Indah, Karak dekat sini semalam dengan mendakwa proses pengundian awal yang berlangsung kelmarin dicemari dengan unsur penipuan.

Menteri Pe­ngangkutan itu menyifatkan tuduhan Marina itu sebagai tidak berasas, sekali gus mencemarkan nama baik pasukan tentera dan polis.

“Tuduhannya itu jelas mencemarkan nama baik tentera dan polis malah SPR. Ini amat menyedihkan kerana kenyataan tersebut datang daripada pihak pembangkang yang kononnya menjunjung tinggi proses demokrasi.

“Dalam proses demokrasi, biar­lah rakyat yang membuat pilihan tetapi apabila tidak memihak kepada mereka, pembangkang cu­ba guna taktik kotor untuk menghentam dan mengkritik pihak-pihak tertentu,” katanya.

-Utusan Malaysia-