8 Mei 2018

Kenyataan Media Pengerusi Biro Publisiti MCA Senator Dato’ Chai Kim Sen

Berwaspada fitnah pembangkang

Menjelang hari mengundi esok, 9 Mei 2018, saya menggesa seluruh pengundi untuk berwaspada terhadap berita palsu dan fitnah, dan membuat penyelidikan dahulu sebelum membuat kesimpulan. Jika tidak pasti akan kesahihan sesuatu mesej yang diterima, tolong jangan sebarkan.

Dalam tempoh 24 jam sebelum hari mengundi, pihak pembangkang dijangka akan menabur pelbagai fitnah dan dakwaan tidak berasas yang bertujuan mengelirukan para pengundi dan mewujudkan penipuan yang mampu menjejaskan kestabilan negara dan keamanan sosial. 

Sepanjang tempoh 10 hari berkempen, pihak pembangkang mencipta pelbagai berita palsu untuk menarik undi. Malah, barisan kepimpinan dan calon-calon pembangkang juga cuba mengelirukan pengundi dengan menghasut kebencian terhadap MCA.

Semenjak hari pencalonan lagi, pelbagai berita palsu menjadi tular, termasuk tuduhan kerajaan BN membawa masuk pekerja-pekerja asing untuk mengundi BN, seorang warga China diberi Mykad untuk mengundi, peti-peti undi awal dibuka untuk membuat kiraan, dan lain-lain lagi. Selain itu, calon DAP untuk Parlimen Bentong Wong Tack juga menuduh Presiden MCA Dato’ Sri Liow Tiong Lai tidak membawa Mykad beliau untuk mendaftar sebagai calon, malah sengaja mendesak Dato’ Sri Liow menunjukkan kad pengenalannya. Walaupun Wong Tack telah memohon maaf, tetapi imej Dato’ Sri Liow sudah terjejas, dan permohonan maaf tersebut juga tidak ikhlas. 

Ia jelas menunjukkan bahawa pihak pembangkang dan penyokong-penyokong mereka kini terdesak menggunakan pelbagai taktik kotor demi memenangi pilihan raya kali ini.

Semasa PRU13, Pakatan Harapan telah menyebarkan pelbagai fitnah dan tohmahan, seperti: 4000 pekerja Bangladesh dibawa masuk untuk mengundi BN, insiden lampu padam di pusat kiraan undi Bentong, peti-peti undi dari kawasan pembangkang ditukar. Terdapat juga fitnah mengenai pengundi hantu, dan pemimpin-pemimpin pembangkang diancam, serta gesaan rakyat keluar awal mengundi demi mengelak warga asing daripada mengundi, dan lain-lain lagi.

Ia mesti ditekankan bahawa berita-berita palsu tersebut mampu menjejaskan keamanan dan reputasi negara. Para pengundi dinasihati sekali lagi untuk memeriksa dan menyelidik dahulu sumber berita-berita yang tular. Jika sumber tidak boleh disahkan, tolong jangan menyebarkannya. Perbuatan sebegini bukan sahaja tidak membantu negara, tetapi juga melanggar Akta Berita Tidak Benar. Oleh itu, ia tidak berbaloi menyebarkan berita palsu.

Senator Dato’ Chai Kim Sen
Ketua Biro Publisiti MCA

-MCA online-