Calon termuda MCA, Ryan Ho, mengecam lawannya di Damansara, wakil DAP, Tony Pua kerana membangkitkan isu korupsi tanpa mencadangkan penyelesaian.

Ho yang akan menentang Pua di kerusi Parlimen itu, mengatakan tiada jaminan korupsi tidak akan berlaku jika pembangkang mengambil alih kerajaan.

“Kita harus mencari penyelesaian, bukan berterusan mensensasikan isu itu.

“Jika saya dipilih sebagai ahli Parlimen di Damansara, saya akan memberi perhatian kepada teknologi digital, seperti blok rantaian, untuk menghentikan korupsi,” kata calon berusia 30 tahun itu kepada FMT.

Katanya, teknologi blok rantaian, seperti Ethereum, terbukti mampu membasmi korupsi di jabatan-jabatan kerajaan.

“Kita harus mempunyai kerajaan yang cekap dari segi teknologi untuk menyekat korupsi dan menjadikan proses-proses kerajaan lebih mudah,” kata Ho yang sebelum ini seorang peguam sebelum dipilih menjadi calon.

Beliau sedar sukar untuknya mengalahkan Pua yang berpengalaman, tetapi berharap pengundi akan menilai menjangkaui isu-isu yang dimainkan oleh calon DAP itu.

“Jika beliau benar-benar serius dalam membangkitkan isu 1MDB itu, beliau harus kemukakannya kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara.

“Dan jika beliau benar-benar mahu menghentikan korupsi dan susutan, beliau harus mencari penyelesaian,” kata Ho.

Beliau juga mahu mengubah sistem pendidikan kepada yang lebih progresif di mana anak muda diajar berfikir secara kritikal.

“Sistem pendidikan kita tidak harus menjadi tempat melahirkan ‘robot’. Ini harus berhenti,” tambahnya.

-Free Malaysia Today-