20 November 2018

Kenyataan akhbar Ketua Wanita MCA Datuk Heng Seai Kie 

Membantah budaya ekstremisme dan membuli ~ Wanita MCA membuat laporan polis terhadap lelaki yang menganggu promoter bir wanita

Wanita MCA hari ini telah membuat laporan polis secara kolektif terhadap seorang lelaki yang dipercayai berkaum Melayu yang telah menganggu dan membuli seorang promoter bir wanita berkaum Cina di sebuah pusat membeli belah di Ampang:, seperti yang diviralkan secara meluas sejak semalam.

Video tersebut diviralkan di media sosial melalui laman Facebook “Edi Rejang”, lelaki tersebut masuk ke bahagian non halal dan memaki hamunkan promoter bir wanita tersebut serta mendakwa beliau memberi sampel percuma kepada orang Melayu dan Islam. Tuduhan tersebut dibuat tanpa apa-apa bukti dan tidak berasas.

Walaupun ini telah dinafikan oleh promoter wanita, lelaki tersebut terus memarahinya dan lebih-lebih lagi, telah bertindak ganas dengan menujukkan jari tengahnya kepada wanita itu semata- mata kerana dia bertutur dalam Bahasa Inggeris.

Wanita MCA terkilan isu perkauman dan keganasan terhadap kaum wanita masih berlaku dalam Malaysia baru ini.

Wanita MCA ingin menegaskan bahawa kami tidak akan bertoleransi dengan mana-mana tindakan buli terhadap kaum wanita, dan menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan terhadap lelaki tersebut , termasuklah membuat siasatan di bawah
Seksyen 298A Akta Kanun Keseksaan dan Subseksyen 4(1)(c) Akta Hasutan 1948 .

Ini penting demi perlindungan wanita, terutamanya mereka yang bekerja di luar , dan apa jua tindakan ke atas lelaki tersebut harus dijadikan sebagai satu pengajaran kepada mana mana golongan yang berfikiran ekstremisme dan chauvinism .

Wanita MCA juga memuji promoter wanita tersebut atas cara beliau menangani krisis ini dengan sabar dan tenang serta menasihati semua rakyat agar sentiasa memupuk nilai kesederhanaan dalam diri kita untuk memelihara keharmonian, keamanan dan perpaduan negara

-MCA online-