24 April 2019

Kenyataan Media Naib Presiden MCA Datuk Tan Teik Cheng

PH jual aset negara – Apa terjadi kepada wang tersebut?

Kerajaan telah berterusan menjual aset negara dan mengecilkan saiz beberapa projek infrastruktur mega dengan tujuan mendapatkan wang tunai dengan segera. Persoalannya, ke mana perginya wang tersebut?

Agensi media Reuters melaporkan bahawa dana dana berdaulat Malaysia, Khazanah Nasional bermula bulan ini, akan mengurangkan pegangannya dalam aset tidak strategik dan menarik balik pelaburan di luar negara, dan juga menutup operasi luar pesisirnya seperti di London.

Sejak membentuk kerajaan baharu, Pakatan Harapan sering menggunakan alasan “hutang negara tinggi” untuk menjustifikasikan penjualan aset-aset negara, mengenakan cukai baharu serta mengurangkan saiz syarikat berkaitan kerajaan dengan menyatakan bahawa wang yang dijana akan digunakan untuk membayar hutang negara. Namun, tindakan kerajaan ini nampaknya tidak berkesan kerana hutang negara bukan sahaja tidak menurun, malah kelihatan semakin teruk.

Kegagalan PH menurunkan hutang negara walaupun telah menjualkan aset negara, di samping memperkenalkan beberapa cukai baharu dan bertindak menutup pejabat-pejabat agensi berkaitan kerajaan (GLC) di luar negara membuktikan bahawa dasar ekonomi kerajaan baharu telah gagal sepenuhnya.     

Tambahan lagi, walaupun kerajaan Pakatan juga telah menjarah sebanyak RM26 bilion dari Petronas dan juga membatalkan pelbagai skim dan program bantuan untuk rakyat, namun, deisit negara bagi tahun 2018 masih meningkat ke RM52.67 bilion, atau bersamaan dengan kadar 3.7%.

Langkah menjual aset negara seakan membunuh “angsa yang bertelur emas” untuk menerima manfaat jangka pendek, seperti menjualkan pegangan dalam IHH Healthcare Bhd kepada Mitsui Group dari Jepun, dan penjualan Hotel Royale Chulan milik Boustead Holdings Bhd yang mempunyai pemegang saham terbesar Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) di Bukit Bintang, Kuala Lumpur, ditambah pula dengan penjualan pegangan dalam CIMB, Menara Felcra, Menara TM Annexe 1 dan Annexe 2, dan Malaysia Legoland. Namun, kesemua ini seakan tidak berkesan menurunkan hutang negara.

Sebaliknya, hutang negara telah meningkat sebanyak RM54.3 bilion kepada RM741.1 bilion setakat akhir tahun 2018, malah hutang luar negara juga meningkat dari RM885.2 bil pada tahun 2017 kepada RM924.9 bilion pada tahun 2018.

Di manakah wang yang didakwa telah dijimatkan serta diperoleh dari penjualan aset? Adakah ia telah digunakan untuk membiayai projek kereta nasional ketiga, atau adakah ia digunakan untuk membayar “penjenamaan semula” skim-skim bantuan rakyat oleh kerajaan BN?

Penjualan aset negara bukan sahaja menjejaskan status kewangan negara, tetapi juga menjejaskan kestabilan ekonomi dalam jangka masa panjang.

Kegagalan PH menangani hutang negara melalui penjualan aset negara akan secara langung menambahkan beban rakyat dan negara kemudian hari.

-MCA online-